Rabu, 29 Mac 2017

Terserah pada anggota untuk hidupkan semula PPS - Lim


Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menyerahkan kepada anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) berhubung sama ada

untuk menghidupkan semula pasukan itu, berikutan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan bahawa PPS ditubuhkan secara sah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata masih terdapat halangan terakhir yang membolehkan kerajaan persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu dalam tempoh 30 hari.

Beliau berharap keputusan Mahkamah Rayuan itu, yang juga bermakna PPS boleh dihidupkan semula dan meneruskan aktivitinya, akan dihormati semua pihak.

"Kami menyerahkan perkara ini kepada anggota PPS kerana kami tidak tahu sama ada kerajaan persekutuan akan memohon penangguhan, bagaimanapun, sehingga tiba saat itu, anggota PPS boleh meneruskan aktiviti mereka," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Dalam keputusannya semalam, Mahkamah Rayuan turut mengeluarkan perintah yang dipohon oleh kerajaan negeri untuk mengisytiharkan bahawa PPS bukanlah sebuah persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1965.

PPS ditubuhkan pada 2011 oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang, dengan matlamat membantu kerajaan negeri dalam memerangi jenayah dan menyediakan kebajikan, keselamatan umum serta keselesaan kepada penduduk Pulau Pinang.

Pada 22 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak semakan kehakiman oleh kerajaan negeri, dengan memutuskan bahawa penubuhan PPS adalah tidak sah disebabkan ia tidak didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan.

Kerajaan Pulau Pinang pada 27 Jan 2015, memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri yang mengisytiharkan PPS sebagai sebuah pertubuhan haram. -Bernama


Tiada ulasan: