Selasa, 14 Mac 2017

Ternyata UMNO khianati Bangsa Johor


Oleh
  
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sepatutnya berani dan menggunakan kesempatan Mesyuarat Dewan Negeri untuk menjelaskan isu pelepasan unit kuota Bumiputera. Khaled tidak sepatutnya bersembunyi di sebalik Peraturan Mesyuarat sehingga menyebabkan Adun Pekan Nenas diarah keluar Dewan. 

Adun Pekan Nenas, Yeo Tung Siong bertindak berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan untuk membawa satu rundingan tergempar supaya MB dapat memberi penjelasan mengenai dua kenyataan beliau yang bercanggah sebelum ini.

Rundingan tergempar yang dibawa oleh Teo ini turut disokong oleh 10 Adun lain selaras dengan kehendak Peraturan Mesyuarat.

Seperti kebiasaan dalam mana-mana amalan Dewan Legislatif, Speaker mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak sesuatu rundingan (usul) yang dibawakan oleh Ahli Dewan dan keputusan Speaker adalah muktamad dan tidak boleh dipersoal. Saya tidak mempunyai masalah dengan kuasa Speaker dalam insiden ini.

Cuma yang menjadi persoalan saya adalah keengganan Menteri Besar untuk memberi penjelasan lanjut – sama ada 4,503 unit seperti yang dijawab oleh beliau dalam sesi Mesyuarat Dewan Negeri April 2016 atau 3,000 unit Bumiputera yang telah dilepaskan seperti yang dinyatakan kepada media pada bulan Mac 2017.
Masakan dalam tempoh kurang lebih setahun ini boleh terdapat dua statistik yang begitu kontra antara satu sama lain.

Kenapa Menteri Besar tidak mahu meminta kebenaran Speaker untuk menjelaskan perkara ini? Ia amat penting dan melibatkan kepentingan rakyat khusus Bumiputera. Apa lagi yang mahu disorokkan sebenarnya? Ruang penjelasan yang sebenarnya adalah di dalam Dewan Negeri Johor. 

UMNO BN selama ini kononnya adalah jaguh dalam mempertahankan hak Melayu atau Bumiputera, tetapi bersikap acuh tak acuh dalam isu skandal penyelewengan pelepasan kuota Bumiputera ini. Skandal hartanah Johor juga bukan sekadar isu penyelewengan pelepasan kuota Bumiputera tetapi turut melibatkan skandal penipuan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ). 

Ia bukan isu terpencil. Ini isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat secara langsung. Saya sekali lagi mendesak Kerajaan Negeri untuk membuat penilaian semula kesemua dasar mereka untuk meminimakan potensi berlakunya penyelewengan dan manipulasi. 

Keengganan Khaled Nordin menjelaskan di Dewan Negeri sebenarnya menyerlahkan hipokrasi UMNO BN. Bangsa Johor perlu sedar slogan Mempertahankan Hak Melayu dan Bumiputera itu hanya satu retorik bagi meraih sokongan semata-mata. Realitinya mereka hanya mempergunakan retorik itu untuk poket mereka sendiri sahaja. – Roketkini.com

*Ahmad Anwar Asyraf merupakan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor


Tiada ulasan: