Jumaat, 24 Mac 2017

Teresa sahut cabaran dedah kepincangan kementerian Ku Nan di mahkamah


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim sedia untuk menyahut cabaran Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor di Mahkamah ekoran kenyataannya semalam menyifatkan menteri UMNO itu sebagai “Menteri untuk pemaju”.

Tegas Teresa, gelaran “Menteri untuk pemaju” (Minister for developers) itu bukanlah fitnah tetapi merupakan gambaran bahawa menteri UMNO itu lebih mesra kepada syarikat pemaju berbanding rakyat.

Jelasnya, bantahan yang disuarakan oleh penduduk terhadap projek berdensiti tinggi sebelum ini tidak diendahkan oleh menteri itu dan DBKL.

“Itu sebab saya panggil Menteri Wilayah Persekutuan sebagai “Menteri bagi Pemaju dan bukan untuk rakyat”, kerana saya ialah wakil rakyat, saya mempunyai tanggungjawab untuk membentangkan suara hati rakyat,” jelas Teresa.

Menurut beliau, pihaknya bukan membantah segala pembangunan di Kuala Lumpur tetapi ia haruslah seimbang dan mampan, bukannya pembangunan tanpa kawalan dan tanpa perancangan.

Tindakan saman menteri itu jelas Teresa akan membuka ruang lebih luas kepada penduduk di Kuala Lumpur untuk bersuara.

“Jika kenyataan ini menyebabkan saya disaman oleh Menteri, ia akan membuka peluang bagi banyak persatuan penduduk di Kuala Lumpur dan para Ahli Parlimen Kuala Lumpur termasuk saya untuk membentangkan kes-kes kami di Mahkamah, dan membuktikan bantahan rakyat terhadap pelbagai projek berdensiti tinggi di tapak yang tidak sesuai tidak diendahkan oleh DBKL.

“Kami juga akan membuktikan pembangunan yang berlebihan (over-development) dan tidak terancang di Kuala Lumpur telah  menjejaskan kehidupan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian, DBKL ketepi KL City Plan 2020

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu turut kesal dengan tindakan Ku Nan yang mengetepikan dan tidak mewartakan “Kuala Lumpur City Plan 2020”.

Sedangkan KL City Plan 2020 jelasnya telah digubal oleh para pakar perancangan bandar dan telah melibatkan siri pendengaran dengan pembentangan  5,052 wakil.

“DBKL juga telah mendapat 62,224 maklumbalas daripada orang ramai. Objektif KL City Plan 2020 ialah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai World Class City pada tahun 2020,” kata beliau.

Beliau juga mengkritik Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL yang tidak lagi mengikuti kegunaan tanah ataupun “zoning” yang termaktub dalam KL City Plan 2020 yang akhirnya  meluluskan banyak projek pembangunan berdensiti tinggi di kebanyakan tanah yang tidak lagi sesuai dibangunkan.

Antara contoh kawasan yang bermasalah ialah sebuah lokasi tapak kemudahan awam di Taman Danau Desa yang telah dijual kepada pemaju untuk membina pangsapuri 36 tingkat.

Penduduk di Kuala Lumpur sekarang telah hilang banyak tanah yang sepatutnya digunakan sebagai utiliti awam (public utility) dan kawasan lapang.  

Jelas Teresa, senarai kelulusan projek pembangunan tanpa mengikuti KL City Plan 2020 sangat panjang.

“Bantahan daripada banyak persatuan penduduk dan wakil rakyat terhadap projek-projek tersebut langsung tidak diambil berat oleh pihak DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kelulusan projek-projek ini bukan sahaja menjadikan Kuala Lumpur lebih sesak, ia akan menggagalkan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bertaraf dunia,” kata beliau. –Roketkini.com


Tiada ulasan: