Ahad, 26 Mac 2017

Sistem pengurusan senjata agensi keselamatan KDN akan dipantau

ASTRO AWANI

Sistem pengurusan senjata agensi keselamatan KDN akan dipantau
NUR JAZLAN: Kita akan sentiasa memantau susulan kehilangan tersebut kerana kita tidak mahu senjata berkenaan jatuh ke tangan pengganas dan digunakan untuk tindakan berbahaya.
 
 
JOHOR BAHRU: Sistem pengurusan senjata di sesetengah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dipantau bagi mengelakkan berlakunya kehilangan senjata yang diberikan kepada organisasi terbabit.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kehilangan senjata mungkin perkara yang sukar memandangkan ia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Saya rasa dalam kalangan polis tiada masalah, mungkin dalam kalangan angkatan keselamatan lain (ada masalah).

"Oleh itu, KDN akan memastikan SOP ditingkatkan supaya setiap senjata yang diberikan kepada pegawai agensi-agensi ini, dapat dipantau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-Royong Denggi bagi Zon 19 dan 20 di Taman Bukit Indah di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa sebanyak 44 senapang patah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daerah Selama, Perak hilang awal bulan ini.
 
Kehilangan itu disedari selepas Unit Penguatkuasaan Lesen Senjata Api, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah bersama Unit Penguatkuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan dan Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan Rela, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Kata laporan itu, satu pasukan khas dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah telah ditubuhkan susulan kejadian.

Pasukan itu kemudian melakukan serbuan di beberapa lokasi di Perak dan Kedah sejak Rabu lepas, yang membawa kepada penangkapan enam suspek dan rampasan beberapa senapang patah serta lebih 300 butir peluru hidup.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata beliau tidak menolak kemungkinan kehilangan senjata itu berkaitan dengan pengganas.

"Pengganas di negara kita sentiasa mencari cara untuk mendapatkan senjata. Namun begitu, keadaannya masih lagi terkawal setakat ini kerana senjata di Malaysia dikawal oleh polis dan anggota tentera...tidak mudah untuk seseorang mendapatkan senjata api, apatah lagi jika senjata api berat.

"Bagaimanapun, kita akan sentiasa memantau susulan kehilangan tersebut kerana kita tidak mahu senjata berkenaan jatuh ke tangan pengganas dan digunakan untuk tindakan berbahaya," katanya.

Sementara itu, mengulas laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada 14 Mac lepas yang mendakwa Malaysia kini menjadi 'tempat' untuk pihak tertentu merancang serangan pengganas berikutan dasar sempadannya yang terbuka, Nur Jazlan berkata ia sama sekali tidak benar.

Namun begitu, beliau mengakui meskipun Malaysia mempunyai kawalan sempadan yang dianggotai anggota keselamatan daripada tentera, polis, imigresen dan unit-unit lain, ia tetap tidak dapat mengawal keselamatan di keseluruhan sempadan yang ada di dalam negara.

"Ini kerana jarak sempadan Malaysia adalah beribu kilometer dan tidak mudah untuk kita memantau dan mengawal keseluruhannya," katanya.

Dalam laporan itu, WSJ menyebut ramai pihak bimbang kerana dua plot berkaitan keganasan telah berlaku di Malaysia iaitu pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Feb.

Satu lagi ialah rancangan militan Daesh yang mahu melancarkan serangan ke atas rombongan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang dalam lawatan rasmi ke negara ini pada penghujung Februari. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: