Sabtu, 25 Mac 2017

Sertai BN umpama pikul biawak hidup, kata Hadi

MALAYSIA DATELINE

Abdul Hadi AwangAbdul Hadi Awang

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumpamakan tindakan menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai memikul biawak hidup kerana parti itu sedang dibebani dengan pelbagai masalah dan penyakit.

Beliau berkata, walaupun sebahagian daripada pemimpin BN yang bermasalah telah menyertai Pakatan Harapan (PH), namun ada 'biawak yang lebih besar' dalam gabungan itu dan penyakitnya lebih parah.

"Pas tidak boleh menyertai BN kerana pernah menyertainya dan terkini memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakitnya, serta masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat Pas.

"Menyertai BN laksana memikul biawak hidup. Walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam BN telah keluar dan menyertai PH. Bahkan menyertai PH biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan, parti Islam itu tidak bersama dengan PH kerana ada parti dan pemimpin dalam gabungan itu secara berterusan menentang Islam secara terbuka dan bersikap oportunis.

"Pas tidak bersama PH kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya. Di dalamnya ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi atau oportunis.," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Justeru katanya, Pas memperkenalkan konsep Politik Matang dan Sejahtera berteraskan wajib berkepimpinan Islam yang adil terhadap semua anggota masyarakat majmuk mengikut objektif Ta’aawun.

Beliau menjelaskan, dalam semua tahaluf (kerjasama) dengan parti lain sejak sebelum meredeka, Pas teguh dengan dasar dan matlamatnya serta pemimpin dan ahlinya diwajibkan beristiqmah dengan dasar matlamat dan wala' (taat) kepada keputusan pemimpinnya.

"Perkataan wala' dan tahaluf tidak ada dalam istilah parti yang tidak berasaskan Islam. Mereka yang tidak faqih dalam istilah ini tidak boleh bersama Pas. Sama ada keluar melarikan diri atau dipecat," katanya.

Tiada ulasan: