Khamis, 30 Mac 2017

Rasuah Sultan: Tan Sri serah diri kepada SPRM

rasuah
Gambar hiasan 
 
PUTRAJAYA - Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas namanya dikaitkan cuba memberikan rasuah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Dia dikatakan cuba memberi rasuah berhubung penganugerahan pingat bergelar tan sri.

Individu itu bersama dua peguamnya tiba di pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 6 petang tadi.

Terdahulu, media melaporkan beliau diberi tempoh sehingga 12 tengah malam ini untuk menyerah diri kepada SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, sekiranya individu terbabit gagal berbuat demikian, pihaknya akan menahan serta mendedahkan maklumat dirinya kepada media.

"Dia tahu kami sedang mencarinya, namun masih melarikan diri. Individu ini berketurunan Cina dan berkepala botak.

"Nama dia sudah disekat di lapangan terbang sekali gus tidak boleh ke luar negara dan dia juga masih berada di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada yang mahu jatuhkan imej saya']

Ahad lalu, Sultan Ibrahim menyatakan kesediaan mendedahkan maklumat kepada SPRM berhubung orang tengah yang cuba merasuah baginda mengenai penganugerahan pingat.

Baginda mendedahkan menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahu SPRM mengadap segera supaya perkara berkenaan dapat disiasat.

Tiada ulasan: