Selasa, 14 Mac 2017

Rahman Dahlan diminta jaga hak pembeli rumah, bukan pemaju


Oleh Syazana Hasanudin
 
KUALA LUMPUR: Jika benar menteri UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan lebih mementingkan pembeli rumah dari pemaju, beliau harus menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah pada 27 Februari lalu.

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menyatakan Rahman tidak ada kuasa memberi lanjutan masa selama 12 bulan kepada pemaju sehingga menyebabkan 104 pembeli unit kondominium di Jalan Kuchai Lama mengalami kerugian.

Dengan keputusan tersebut, ia bermakna pemaju, BHL Construction harus membayar penalti kepada kesemua pembeli bagi kelewatan penyerahan unit seperti yang dimeterai dalam perjanjian.

Namun, Rahman kemudiannya berkeras bahawa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memfailkan rayuan ke atas keputusan berkenaan.

Mengulas perkara itu, Guan Eng berkata beliau kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Kota Belud itu yang dianggapnya ‘melebihkan’ pemaju perumahan dari pembeli, sedangkan pemaju lah yang telah melanggar perjanjian.

“MP Kota Belud lebih memihak kepada pemaju dengan memberi lanjutan masa sebanyak 12 bulan. Pemaju untung, tapi semua pembeli yang tak dapat tuntut penalti ini rugi.

“Bekas menteri (perumahan) ini telah menyalahgunakan kuasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP itu turut mempersoal sama ada Rahman ada berbincang dengan pembeli sebelum membuat keputusan melanjutkan tempoh penyerahan unit kondominium tersebut.

“Semasa itu, adakah beliau ada ambil pandangan dari pembeli-pembeli? Adakah beliau berunding dulu? Sebagai menteri, (Rahman) bukan saja mewakili pemaju tapi juga pembeli.

“Saya kesal kes ini masih tak diambil iktibar oleh MP Kota Belud, malah boleh pula merayu di Mahkamah Rayuan (untuk kes ini).

“Beliau perlu sedar kesilapan dan biarkan 104 pembeli dapat tuntut (ganti rugi). Kenapa mahu terus membela pemaju perumahan?” ujarnya.

Rahman sebelum ini berkhidmat sebagai menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari Mei 2013 hingga Jun 2016. Jawatan itu kini disandang Tan Sri Noh Omar. – Roketkini.com

Tiada ulasan: