Rabu, 1 Mac 2017

PPBM tidak hadir mesyuarat PH, bukan sebab PAS

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS tidak ada kena mengena dengan kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hadir ke mesyuarat bersama Pakatan Harapan (PH) semalam, tegas Naib Presidennya Datuk Hamidah Osman.
 
PPBM sepatutnya hadir ke mesyuarat kali pertama dengan PH berhubung isu agihan kerusi, namun ia gagal berbuat demikian.
 
"(PAS) tak ada kena mengena, dalam hal ini kita akan teruskan dengan segala urusan bersama Pakatan harapan (PH). 
 
"Untuk PAS kita tak mahu ia menjadi satu gangguan kepada pergerakan kita (menuju PRU14)," katanya kepada Antarapos.
 
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution semalam memberitahu pemberita tiada wakil daripada PPBM hadir berikutan parti itu masih dalam proses mengenalpasti kerusi yang mana berpotensi untuk ditandingi mereka.
 
Saifuddin berkata beliau tidak melihat perkembangan itu sebagai masalah kerana situasi yang dialami PPBM adalah proses biasa, sebagai sebuah parti baru.
 
Mengulas lanjut, Hamidah berkata PPBM tidak terikat dengan PAS justeru parti itu komited untuk meneruskan rundingan agih kerusi dengan PH.
 
Ketika ditanya soal pendirian PAS yang tidak mahu kerjasama dengan parti yang ada kaitan dengan DAP dan Amanah, Hamidah berkata terpulang kepada PAS.
 
"Itu terpulang kepada PAS lah untuk buat keputusan macam mana, saya rasa untuk PPBM kita pun ada keputusan sendiri. Dalam soal dengan PH kita sudah buat perjanjian untuk bekerjasama. Apa juga perjanjian yang kita dah buat tu kita akan teruskan," ujar beliau lagi.
 
Selepas gagal menghadiri mesyuarat bersama  PH, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberitahu mereka memerlukan masa yang lebih panjang untuk melihat kerusi berpotensi untuk dimenangi.
 
PPBM sepatutnya diwakili beliau dan naib presidennya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
 
 

Tiada ulasan: