Bernama
BESUT
– Sebuah politeknik bernilai RM180 juta akan dibina di Besut pada tahun
ini bagi memenuhi keperluan graduan dalam bidang teknikal khususnya di
negeri ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris
Jusoh berkata politeknik tersebut akan dibina di satu kawasan
berhampiran Bukit Keluang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera
di sini.
Katanya, majlis pecah tanah pembinaan politeknik
berkenaan akan dilakukan pada 18 Mac ini dan pembinaannya dijangka
mengambil masa tidak melebihi tiga tahun.
“Dengan pembinaan
politeknik ini, negeri Terengganu akan mempunyai dua politeknik selain
di Dungun yang mampu menampung lebih 1,000 pelajar,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Berkelompok Wanita, Pemuda
dan Puteri UMNO DUN Jerteh di Dewan Gong Nering di sini pada Sabtu.
Idris
juga berkata kementeriannya meluluskan peruntukan berjumlah RM40 juta
bagi pembinaan sebuah perpustakaan baharu di Universiti Sultan Zainal
Abidin (UnisZA) Kampus Tembila, di sini dan membina beberapa bangunan
fakulti baharu tahun ini.
Terdahulu, Idris yang juga Anggota
Majlis Tertinggi UMNO dalam ucapannya meminta masyarakat Melayu terus
menyokong parti itu demi memastikan kelangsungan pembangunan untuk agama
dan bangsa di negara ini.
Katanya, UMNO adalah parti yang
konsisten dengan perjuangannya yang sentiasa membela nasib kaum Melayu
hingga mencapai kemajuan dalam setiap aspek daripada dahulu hingga kini.
“Rakyat
perlu berfkir sedalam-dalamnya sebelum memilih mana-mana parti bagi
menggantikan UMNO kerana kewujudan parti berkenaan hanya lebih kepada
ingin mengaut keuntungan yang telah diusahakan oleh UMNO daripada
perjuangannya sejak lebih 50 tahun lalu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan