Ahad, 19 Mac 2017

Pesaing ‎Najib perlu lantang dedah kepincangan

Shawaliah Hadir

Berpuluh calon yang bertanding melawan Najib di Pekan hanya akan beri kelebihan kepada Perdana Menteri itu kekal

SHAH ALAM: Pesaing Perdana Menteri Najib Razak di Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu jadi individu yang paling kuat menentangnya, demikian kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Justeru, beliau menyarankan Ezam Mohd Noor untuk berusaha membuat pendedahan tentang kepincangan Ahli Parlimen Pekan itu terlebih dahulu bagi menunjukkan prestasinya.

“Orang yang paling kuat melawan Najib dan berjaya melemahkan Najib maka sudah tentu nanti dia dilihat sebagai orang paling layak lawan Najib.

“Kalau hasrat Ezam itu lawan Najib, dia kena jadi orang yang paling kuat pukul Najib sampai Najib tempang kemudian saya rasa tidak ada masalah untuk orang itu melawan Najib atau parti mana pun.

“Ezam boleh tentang dan dedah segala kepincangan lawan Najib sehingga dia goyang kemudian pentas mana bukan satu isu bagi saya,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Konvensyen Warga Felda hari ini.

Prestasi yang melayakkan untuk melawan Najib pada akhirnya tambah Rafizi akan membelakangi isu parti yang patut bertanding di kawasan tersebut.

“Soal parti itu lebih akademik berbanding prestasi yang akan diadili oleh rakyat. Itu yang lebih penting sekarang. Saya alu-alukan kalau ada orang yang mahu pukul Najib sampai Najib tempang dan sampai dia goyang di Pekan dan itu tidak perlu menunggu keputusan parti mana yang bertanding di situ.

“Jangan kita kata oleh sebab PKR bertanding baru parti itu boleh bertanding,” ujar Ahli Parlimen Pandan itu.

Terdahulu Ezam yang merupakan bekas ahli Umno dan PKR bersama-sama dengan Khairuddin Abu Hassan mengesahkan akan menubuhkan parti politik baru yang menyasarkan generasi muda khususnya.

Parti itu kelak hanya akan menumpukan satu isu sahaja iaitu rasuah di sebalik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menentang Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinna Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM) Kadir Jasin berharap agar pendekatan untuk menjatuhkan Najib digunakan dengan cara yang terbaik, khususnya mengelakkan pertembungan di kalangan parti pembangkang.

“Masalahnya begini kalau tujuannya adalah untuk mengalahkan Najib Razak di Pekan, kalau terlalu ramai bertanding kemungkinan untuk Najib Razak kalah langsung tiadalah malah kemungkinan beliau akan menang besar kerana calon-calon yang lain akan memecah-mecahkan undi.

“Jadi sesiapa sahaja yang mempunyai tahap kemarahan yang begitu tinggi terhadap Najib Razak sepatutnya boleh berfikir bahawa ini bukanlah tempat untuk menunjukkan kemarahan tetapi ini tempat untuk menjatuhkan beliau,” kata beliau.

Calon yang ramai sehingga mengakibatkan pertembungan menurut Kadir pada akhirnya akan memberi peluang besar untuk Najib untuk kekal di Parlimennya terkini.

“Cara untuk menjatuhkan beliau hanya seorang, sebaik-baiknya seorang calon yang terkuat bertanding melawan beliau bukan berpuluh-puluh calon yang bertanding untuk melepaskan geram,” jelasnya.

Tiada ulasan: