Rabu, 15 Mac 2017

Pendapatan Petronas merosot tahun 2016

BERNAMA
  
PetronasPetronas


Petronas mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM33.7 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, susut lapan peratus berbanding RM36.7 bilion yang dicatatkan pada 2015.

Perolehan kumpulan bagi tahun tersebut merosot 17 peratus kepada RM204.9 bilion berbanding RM247.7 bilion yang dicatatkan pada 2015, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Penurunan itu mencerminkan harga purata yang rendah sejajar dengan trend penurunan harga penanda aras utama (Dated Brent dan Japan Customs Cleared Crude) selain kesan daripada jumlah jualan yang rendah.

Sementara itu, keuntungan kumpulan selepas cukai bagi 2016 sebanyak RM23.5 bilion, naik 12 peratus berbanding RM20.9 bilion dicatatkan pada 2015.

Ini disebabkan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan cukai yang rendah sebahagiannya diimbangi oleh harga purata yang rendah.

"Petronas turut menyaksikan peningkatan dalam keuntungan sebelum cukai dan pendapatan sebelum faedah, cukai, penyusutan dan margin pelunasan, yang menunjukkan prestasi asas kumpulan meningkat," katanya semasa mengumumkan keputusan 2016 kumpulan itu di Kuala Lumpur semalam.

Wan Zulkiflee juga berkata Petronas berjaya mengekalkan penarafan kredit yang kukuh bagi 2016, tahap kadar hutang yang rendah sebanyak 17 peratus dan baki tunai yang baik.

Beliau berkata kumpulan turut mengambil kira penyusutan nilai ke atas aset sebanyak RM12.9 bilion untuk memastikan lembaran imbangannya kukuh sepanjang pergerakan harga minyak rendah yang berpanjangan.

Walaupun pengurangan yang ketara dalam perbelanjaan modal dan operasi, Wan Zulkiflee berkata jumlah pengeluaran huluan antarabangsa kumpulan itu naik kepada 2.36 juta tong bersamaan minyak (BOE) sehari pada 2016 berbanding 2.29 juta BOE sehari pada 2015.

Ini, katanya disebabkan oleh penyambungan semula saluran paip gas Sabah-Sarawak, masa operasi kemudahan yang lebih tinggi di Malaysia dan Kanada dan, pengeluaran yang tinggi.

"Sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menyokong perniagaan hiliran kami, kami mencapai pengekstrakan etana yang tertinggi dalam beberapa tahun ini untuk membekalkan sebagai bahan mentah bagi perniagaan petrokimia Petronas, selain mengekalkan jumlah bekalan gas yang sama pada 2015," katanya.

Wan Zulkiflee juga berkata kumpulan mencatatkan peningkatan jumlah jualan pihak ketiga gas asli cecair sebanyak 29.01 juta tan pada 2016 berbanding 28.49 juta tan yang dicatatkan pada 2015.

Katanya ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh jumlah pengeluaran yang lebih tinggi dari Train 9 di Bintulu dan projek gas bukan konvensional (GLNG) di Australia, yang sebahagiannya diimbangi oleh jumlah dagangan yang rendah.


Tiada ulasan: