Ahad, 19 Mac 2017

PAS pusat digesa putuskan hubungan dengan PKR

Bernama

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan berkata usul itu mendapat undian sebulat suara berikutan tindakan PKR itu akan menjejaskan kedudukan PAS untuk berhadapan dengan pengundi Islam di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti

PERMATANG PAUH: PAS kawasan Permatang Pauh hari ini mencadangkan kepada PAS pusat agar memutuskan kerjasama politik dengan PKR kerana tindakan PKR yang dikatakan bertentangan dengan prinsip tahaluf siyasi.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan berkata usul itu  mendapat undian sebulat suara berikutan tindakan PKR itu akan menjejaskan kedudukan PAS untuk berhadapan dengan pengundi Islam di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Katanya, keputusan itu diambil selepas Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail bertindak untuk terus berkerjasama dengan DAP dan PAN yang menyerang kepimpinan PAS.

“Kerjasama PAS-PKR tidak boleh diteruskan kerana terdapat ahli-ahli PKR kawasan ini yang cuba memujuk ahli PAS keluar parti dan menyertai PKR dengan menawarkan jawatan dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah merasmikan Mesyuarat Tahunan PAS Kawasan Permatang Pauh.

Berikutan usul itu, Omar berkata PAS bersedia untuk turun bertanding di kerusi Parlimen dan juga tiga kerusi DUN iaitu Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.-Bernama

Tiada ulasan: