Jumaat, 31 Mac 2017

Parti Bebas Rasuah ganti NewGen Party, bakal sertai PH

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Bebas Rasuah (PBR) diumumkan sebagai nama baru menggantikan Parti Generasi Baru (NewGen Party).
 
"Kami mengambil kesempatan ini untuk mengesahkan bahawa kami telah membuat keputusan untuk menukar nama parti ini kepada Parti Bebas Rasuah (PBR)," kata Pengasas PBR, S.Gobi Krishnan.
 
Gobi Krishnan juga berkata, perubahan tersebut telahpun dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS), hari ini. 
 
PBR dalam pada itu turut mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa barunya, di mana bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor dilantik sebagai presiden PBR yang baharu.
 
Sementara itu bekas timbalan ketua Umno Batu Kawan yang juga bekas ahli PPBM, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan diumum sebagai timbalan presiden PBR yang baharu.
 
Jawatan Naib Presiden PBR disandang oleh Syed Nazarudin Syed Aziz dan Rajaretinam Armuggan. 
 
Gobi, yang juga bekas Setiausaha Biro Strategi dan Polisi Kebangsaan PKR mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung PBR.
 
NewGen Party telah didaftarkan pada September 2013 dan merupakan parti berbilang kaum yang menyasarkan golongan muda.
 
Dalam pada itu, Khairuddin yang dipetik mStar berkata, PBR akan mengemukakan permohonan untuk menjadi parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
 
Ujar beliau, Ezam sendiri akan menulis surat rasmi kepada PH mengenai hasrat mereka.
 
 

Tiada ulasan: