Selasa, 21 Mac 2017

NUJ kecam tindakan halau wartawan

 Berita Daily Staff

NUJ sifatkan ia ‎penindasan terhadap wartawan dalam menjalankan tugas

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia mengecam tindakan larangan untuk membenarkan pengamal media bebas membuat liputan di lobi Parlimen.

Presiden, Mohd Taufek Razak menyifatkannya sebagai pemindahan terhadap wartawan yang bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat untuk tujuan membuat berita.

“Selagi wartawan tidak melanggar peraturan Parlimen, larangan tersebut boleh dianggap satu penindasan kepada tugas wartawan untuk mendapatkan berita yang diperlukan.

“NUJ mengecam larangan seumpama ini yang boleh menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan media yang sepatutnya apatah lagi ia berlaku di Parlimen yang menjadi lambang demokrasi di negara ini,” katanya menerusi kenyataan media.

Hari ini, Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia mengarahkan agar semua wartawan untuk berada hanya di bilik media yang disediakan.

Larangan berada di luar legar lobi Parlimen itu dikeluarkan kerana dakwaan wujudnya ketidakselesaan di kalangan Ahli Parlimen terhadap jumlah wartawan yang ramai di kawasan itu.

Bilik media ditempatkan di tingkat bawah Dewan Rakyat, yang mana akan mengambil masa beberapa minit untuk ke kawasan Dewan Rakyat.

NUJ dalam masa sama berpendirian bahawa larangan ini adalah sekatan kepada pengamal media yang tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang demokrasi ini.

“NUJ berpendapat ia satu cara untuk menghalang tugas wartawan daripada bebas mendapatkan maklumat di Parlimen.

Untuk rekod, sebelum arahan tersebut dikeluarkan, pengamal media yang berada di lobi Parlimen tidak menerima sebarang teguran atau amaran secara lisan atau bertulis.

Tiada ulasan: