Sabtu, 25 Mac 2017

‘Nasi Lemak Pondan’ raih lebih RM2000 setiap hari

Shawaliah Hadir

Baru sahaja 13 hari memulakan perniagaan sudah ada peniaga yang tidak berpuas hati dengan Jojie Kamaruddin, pemilik gerak itu.

BEBERAPA hari ini tular di media sosial ‘nasi lemak pondan’ yang dijual Jojie kamaruddin di Cheras.
Sudah tentu namanya yang unik dan sinonim dengan si penjualnya yang merupakan ‘transgender’ menarik perhatian masyarakat.

Semenjak tular sejak 13 hari, Jojie tidak menyangka perniagaan nasi lemak yang hanya dicubanya untuk menambah pendapatan ini berjaya meraih pendapatan lebih RM2000 sehari.

“Untung setiap hari lebih RM2000 kalau bersih boleh simpan RM1500.

“Memang saya punya hobi dalam bidang rekaan baju tapi tiba-tiba setelah saya cuba saya tidak sangka pulak.

“Saya cuba ini pun untuk tambah pendapatan saya selepas butik saya tutup dan hanya berniaga secara online buat masa ini,” katanya kepada Berita Daily ketika ditemuramah.

Melihat ramai pelanggan pelbagai kaum yang membeli nasi lemak di gerainya, Jojie kini sedang mempertimbangkan untuk memohon permit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berniaga di Jalan Sri Permaisuri.

Jojie merupakan anak ke tujuh daripada 15 adik-beradik menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan melalui online menyewa baju pengantin.

Oleh kerana persaingan terhadap perniagaan itu sangat tinggi maka beliau berusia dalam lingkungan 30-an itu menyifatkan dirinya tidak bernasib baik dalam bidang mereka baju pengantin.

Jojie sementara itu mengakui terdapat beberapa peniaga mula rasa tercabar dengan rezeki yang diraih oleh Jojie beberapa hari ini, namun beliau berkata risiko tersebut sudah dijangka semasa nasi lemaknya baru-baru ini mendapat publisiti.

“Saya bersedia untuk dapat saingan atau cercaan apatah lagi selepas perniagaan saya ini mendapat publisiti kan, sudah tentu akan ada yang tidak puas hati bukan saya sahaja, sesiapa sahaja yang berniaga perlu bersedia dengan risiko itu,” katanya yang tidak mengambil pusing terhadap cercaan orang terhadapnya yang berani meletakkan nama ‘Nasi lemak pondan’.

Berita Daily dalam masa sama meninjau pendapat pelanggan tetap Jojie, Mohd Shahrul Ridzuan Sanusi, 30 yang sanggup menunggu 20 minit semata-mata untuk ‘Nasi lemak pondan’.

“Sebelum ini beli di tempat lain tetapi selepas makan nasi lemak ini beberapa kali memang tidak beli di tempat lain, sambalnya sedap.

Selalu tunggu untuk giliran sebab beratur 15 hingga 20 minit, sanggup tunggu walaupun panas untuk makan,” katanya yang sering membeli enam hingga ke tujuh bungkus nasi lemak tersebut.

Bagi Mani a/l Muniandi,53 nama nasi lemak yang unik itu menarik perhatiannya untuk mencuba kali pertama.
Kewujudan nasi lemak itu ujar Mani diketahuinya menerusi hebahan di Facebook yang disedarinya tiga hari yang lalu.

“Saya datang ke sini kerana viral di Facebook, saya jangkakan memang sedap sebab ramai orang beratur, memang benarlah apa yang diviralkan itu kan, kalau tak sedap orang tak akan beratur.

“Saya tertarik mahu cuba sudah tentu sebab namanya ‘Nasi lemak pondan’,” kata beliau.

Tambahnya, walaupun penjual nasi lemak itu merupakan seorang ‘pondan’ namun tidak semestinya ia perlu diboikot apatah lagi perkara yang diviralkan bukan semata-mata kerana nama, namun rasanya juga dikatakan sedap.

“Dia pun manusia seperti biasa, seperti orang lain yang berniaga, kalau tidak sedap memang tidak ramailah kan, tidaklah orang datang beli, jadi siapa sahaja yang menjual bukan masalah,” ujar beliau.

Tiada ulasan: