Isnin, 20 Mac 2017

MIC mungkin ‘korbankan’ kerusi tradisi untuk PRU-14

MALAYSIA GAZETTE
Akhbar Tamil harian Malaysia Nanban

KUALA LUMPUR – Ramalan kuat mengatakan MIC mungkin terpaksa melepaskan beberapa kerusi tradisinya kepada parti lain dalam Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.

Keputusan itu dikatakan dibuat ekoran penurunan prestasi BN pada PRU-13 lalu, lapor akhbar Tamil Malaysia Nanban hari ini.

Antara kawasan yang dikatakan mungkin terpaksa dikorbankan MIC ialah Parlimen Hulu Selangor.

Tidak dapat dinafikan kerusi itu diintai rapat oleh UMNO dan antara sebabnya ialah lebih 54.9 peratus pengundi kawasan berkenaan terdiri daripada kaum Melayu.

Didakwa kerusi itu mungkin terjatuh ke tangan pembangkang sekiranya penyandang semasa, P. Kamalanathan bertanding semula di sana.

Satu lagi sebabnya adalah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mungkin akan diletakkan sebagai calon PKR di Hulu Selangor kali ini.

Sebelum ini Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel memegang kerusi Hulu Selangor selama empat penggal sebelum tewas kepada calon PKR Datuk Dr. Zainal Abidin pada PRU 2008.

Selepas Zainal meninggal dunia akibat penyakit barah pada tahun 2010, BN berjaya merampas semula kerusi itu menerusi Kamalanathan pada Pilihan Raya Kecil.

Ketika itu para pengundi kawasan itu yang meminta calon Melayu di kawasan itu menamakan Muhammad Taib sebagai calon.

Muhammad Taib atau lebih dikenali sebagai Mike Tyson seorang pemimpin popular dan berpengaruh dari UMNO dan ramai berpendapat BN akan menang jika meletakkan Mohammad Taib.

PKR yang menyedari mereka akan kalah sekiranya Muhammad Taib bertanding di kerusi itu bagi UMNO.
Tetapi oleh kerana ia adalah kerusi tradisi MIC, ia enggan dikorbankan oleh Samy Vellu yang menjadi presiden MIC ketika itu.

Perdana Menteri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN membuat keputusan dan meletakkan Kamalanathan dan merampas kerusi itu dengan majoriti 1,725 undi sahaja menewaskan Datuk Seri Zaid Ibrahim.

Kamalanathan sekali lagi mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum yang lalu.

Pun begitu, para pengundi di kawasan itu dikatakan tidak berpuas hati dengan khidmat Kamalanathan, dakwa UMNO bahagian Hulu Selangor.

Bukan sahaja UMNO tetapi dalam MIC sendiri didakwa wujud aduan dan ketidakpuasan mengenai khidmat Kamalanathan di Parlimen itu dan adalah tidak hairan sekiranya Kamalanathan tidak diberikan sebarang kerusi bertanding.

Pendekatan dan kecuaian Kamalanathan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dalam isu sekolah Tamil dan hal ehwal murid sekolah Tamil dikatakan telah menghilangkan kepercayaan pengundi India terhadapnya.

Akhbar itu juga mendakwa Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dikatakan tidak puas hati dengan khidmat Kamalanathan.

Oleh kerana Muhammad Taib kali ini sudah menyertai PKR, maka PKR dijangka menggunakan sepenuhnya pengaruh yang dimiliki Muhammad Taib di kawasan itu.

Muhammad Taib menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 1986 hingga tahun 1997 selain menjadi ADUN Batang Kali dari tahun 1985 hingga 1995.

Pengundi yang didaftarkan setakat 2013 adalah seramai 85,697 orang dan majoritinya Melayu, Cina 26.7 peratus dan 20 peratus pengundi India.

Kali ini para pengundi mungkin akan mengharapkan wakil rakyat yang matang dan berpengalaman.

BN mungkin mengatur strategi lain dalam memilih calon selepas mengambil kira pengaruh dan populariti yang dimiliki Muhammad Taib di Hulu Selangor. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: