Jumaat, 31 Mac 2017

Menteri Pendidikan perlu tumpu baiki mutu pendidikan bukan cari salah guru

OLEH DR SITI MARIAH MAHMUD

 guru

Saya meneliti kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menasihat guru-guru yang cenderung menyokong parti pembangkang supaya berhenti daripada perkhidmatan tersebut.

Itu secara tersurat tetapi secara tersirat pula, saya melihat kenyataan beliau sebagai satu bentuk ancaman dan ugutan awal supaya para guru tidak terlibat dengan program parti pembangkang atau bersedia menerima padah.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan minat politik rakyat semakin bercambah baik, agak aneh apabila pemimpin negara seperti Datuk Seri Mahdzir memilih untuk bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hak para guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan.

Barangkali, kerana sikap kuno pemimpin seperti inilah yang menyebabkan negara masih gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 sehingga terpaksa menganjak sehingga 2050.

Saya menyarankan agar Datuk Seri Mahdzir Khalid berhenti mencampuri urusan para guru di luar waktu sekolah, sebaliknya beliau patut memberikan keutamaan dengan menumpukan perhatian kepada usaha membaiki mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Hal ini kerana, bukan satu rahsia lagi apabila para guru turut dibebankan dengan tugasan berbentuk pentadbiran dan perkeranian sehingga mengganggu fokus mereka untuk mengajar.

Waktu kerja mereka bukan lagi setakat waktu persekolahan, ada kalanya terpaksa dibawa pulang untuk diselesaikan sehingga larut malam.

Selain itu, ada juga dilaporkan yang para guru turut diwajibkan menghadiri kursus yang tiada kaitan dengan profesion perguruan.

Dengan pelbagai bebanan tugasan yang tidak berkaitan ini, sudah tentu para guru ini berhak untuk membuat pilihan dengan menyertai parti lain yang diharapkan boleh menjamin kualiti pendidikan negara pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, saya juga menggesa Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya menyiasat sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar, Sabah dan Sarawak yang sehingga sekarang tidak menikmati infrastruktur pendidikan yang lebih sempurna. Inilah antara keutamaan yang perlu beliau laksanakan sebagai Menteri Pendidikan.

Walau bagaimanapun, menyedari suasana Kerajaan yang semakin bersifat autokratik dan tidak terbuka untuk menerima kritikan dari penjawat awam, saya turut menasihatkan para guru dan penjawat awam lain supaya mengambil langkah berwaspada.

Pastikan anda menggunakan kuasa undi anda untuk mengubah Kerajaan sekarang kepada sebuah Kerajaan baharu yang lebih peduli dengan nasib semua golongan masyarakat.

# Dr Siti Mariah Mahmud adalah Ahli Parlimen  Kota Raja

Tiada ulasan: