Khamis, 30 Mac 2017

Malaysia silap cam Jong-nam sebagai warga Korea Selatan

MALAYSIAKINI



Pihak berkuasa Malaysia membuat kesilapan dalam mengenal pasti identiti Kim Jong-Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un sebagai warganegara Korea Selatan, kata Reuters yang memetik sumber.

Bagaimanapun kesilapan itu, membolehkan Seoul dengan segera memaklumkan Kuala Lumpur bahawa kemungkinan besar mangsa adalah Kim Jong-nam.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) pada 13 Febuari lalu apabila menurut polis negara ini, dua wanita melumurkan agen saraf VX pada mukanya.

Selepas memeriksa pasport mangsa, pihak berkuasa Malaysia keliru akan Republik Demokratik Rakyat Korea, nama rasmi Korea Utara, dengan Republik Korea, nama rasmi jiran di selatan negara itu, kata sumber tersebut.

Pihak berkuasa Malaysia kemudiannya menghubungi kedutaan Korea Selatan dan menghantar bersama salinan dokumen yang ditemui pada jasad Jong-nam.

Polis Malaysia tidak memberi reaksi berhubung permohonan Reuters untuk mendapat ulasan lanjut.
Kekeliruan mengenai kewarganegaraan Jong-nam juga menjelaskan mengapa media di Korea Selatan yang pertama mendedahkan berita berkenaan.

Dalam masa 24 jam selepas kematiannya, Perkhidmatan Risikan Kebangsaan Korea Selatan memberikan taklimat kepada wakil rakyat di Seoul yang Kim Jong-nam dipercayai mati. Ini kemudian dibocorkan kepada media Korea Selatan.

Tiada ulasan: