Rabu, 1 Mac 2017

Lindungi Zakir Naik, 19 individu saman kerajaan

 
Ketua Hindraf Waytha Moorthy, peguam Siti Kasim dan 17 yang lain mendakwa pendakwah Islam itu berbahaya kepada masyarakat Malaysia, dan mendesak beliau dilarang masuk ke negara ini.


siti-kassim


KUALA LUMPUR: Sembilan belas orang termasuk pengerusi kumpulan Hindraf P Waythamoorthy dan peguam Siti Kasim hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana mendakwa ia melindungi pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik.

Mereka mendakwa pendakwah India itu individu yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

“Beliau menggalakkan keganasan dalam masyarakat,” kata mereka dalam tuntutan saman itu.

Mereka juga mendakwa kehadiran Zakir di Malaysia akan membawa ancaman kepada keselamatan negara.
“Orang ini bahaya kerana dia diharamkan masuk ke beberapa negara lain kerana disyaki bekerja dengan kumpulan pengganas,” kata mereka.

Sehubungan itu, mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghalang Zakir memasuki negara ini.

“Kami juga minta polis menahannya,” kata mereka.

Tuntutan saman itu menamakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketua pengarah Jabatan Imigresen, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia, dan ia difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bercakap kepada wartawan selepas memfailkan saman itu, Siti berkata mereka tidak menentang Islam apabila mengambil tindakan terhadap pendakwah itu.

“Saya tahu ada orang Melayu fikir kami menentang Islam. Tetapi sebenarnya kami mempertahankan Islam,” katanya.

Siti berkata negara ini sudah cukup ramai golongan radikal yang memecahkan Melayu dan “kita tidak perlu lagi individu seperti itu”.

Bulan lalu Waytha Moorthy menghantar surat kepada Zahid berhubung status penduduk tetap Zakir di Malaysia.

Jika kerajaan gagal membalas soalannya, Hindraf akan menyaman kerajaan.

Zakir dijadualkan hadir di sebuah masjid di Perlis untuk menyampaikan khutbah Jumaat pada 10 Februari.
Bernama juga melaporkan beliau akan menyampaikan ucapan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada hari sama dan pelajar universiti itu memeluk Islam selepas mendengar ucapanya.

Tahun lalu, Zakir mendapat perhatian selepas Hindustan Times melaporkan beliau didakwa memegang 2 kewarganegaraan iaitu India dan Malaysia.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan itu.

Zakir kini masih dalam siasatan di India kerana dikatakan menyebarkan kebencian kaum dan menyanjung keganasan.

Beliau juga dilaporkan dikehendaki oleh Direktorat Penguatkuasaan India dalam kes pengubahan wang haram.

Agensi Siasatan Negara republik itu juga menyiasat 78 akaun bank dan pelaburan membabitkan jumlah RM65 juta yang dikaitkan dengannya, lapor NDTV.

Zakir mencetuskan kekecohan tahun lalu selepas beliau dikatakan menghina dewa dan amalan Hindu.
Beliau juga dilaporkan diharamkan memasuki United Kingdom dan Kanada susulan sokongannya kepada kumpulan pengganas al-Qaeda.

Tiada ulasan: