Khamis, 16 Mac 2017

Kerajaan tak berduit, Inna Lillah


SEJAK beberapa tahun saya menghadiri temu janji enam bulan sekali dengan doktor di hospital.
 
Saya dibekalkan dua jenis ubat, makan sebiji  sekali lepas makan malam.
   
Dalam temu janji terbaru, doktor tanya sama ada saya tekun makan ubat itu?
    
Ya, Saya istiqamah.
   
Alhamdulillah penyakit itu terkawal.
   
Maka dotkor pun beritahu, dua jens ubat itu tidak dibekalkan lagi kerana kerajaan tak ada duit.
   
Reaksi saya dalam hati, Inna lillah wainna Ilaihi rajiun.
   
Ia satu berita musibah, kerajaan sudah tidak berduit atau sudah tidak cukup duit. Bukan mati saja disyariatkan dengan reaksi kata-kata, Inna Lillah, tak berduit bagi kerajan itu satu musibah juga, antara lain-lain musibah yang menyamai mati juga.
    
Raja Saudi labur puluh billion tak berduit lagi?
   
Senyum saja doktor itu.
    
Tapi dua jenis ubat itu diganti dengan satu ubat baru yang menyamai khasiat dua ubat sebelum ini. Ertinya ubat baru itu dua dalam satu.
    
Bagaimanapun warga emas tak berada seperti saya, masih dapat ubat subsidi. Percuma.
    
Pertukaran ubat itu dipercayai termasuk dalam langkah kerajaan mencatu peruntukan kesihatan dan rawatan mulai Mac ini.
   
Saya tidak takwil ubat itu dulu dua kini jadi satu. Jika dua ubat bagi satu penyakit boleh ditransformasi jadi satu ubat saja, ia adalah satu kemajuan dan menjimatkan. Adalah lebih ringan bagi pesakit ke mana-mana dengan satu ubat saja. Ongkos ubat boleh dikurangkan dan ruang penyimpan ubat boleh digunakan untuk lain.
   
Yang saya takwil, ubat saya itu diganti kerana kerajaan tak berduit.
   
Ucapan Inna lillah saya itu adalah takziah dan ia doa, moga-moga musibah tak berduit itu tidak diikuiti oleh lain-lain musibah dan kesan negatifnya.
    
Bertuahlah saya masih dapa subsidi ubat, tetapi keadaan telah menjadikan ada orang dan ada ubat yang mungkin sudah  tiada ada subsidi lagi.
   
Sebelumnya kita dikejutkan dengan musibah mulai Mac juga, cabut gigi sepuntung di klinik kerajaan dan hospital naik RM15 dari RM2. Cuci gigi dinaikkan jadi RM55. Ada yang kata cuci gigi di klinik swasta RM50 saja.
   
Sejak sebelum merdeka adakah percuma. Sekalipun selepas merdeka perkhidmatan rawatan ada yang diswastakan, tetapi ubat dan rawatan masih percuma terutama bagi orang berpendapatan kecil.
    
Kebajikan perubatan itu dibuat kerana kerajaan kita mampu, negara kita kaya. Selain ia banyak hasil mahsul, kerajaan sejak merdeka melancarkan pembangunan menyeluruh  bagi menambah pendapatan rakyat dan mengukuhkan ekonomi dan kewangan negara.
    
Negara kita tak termasuk wilayah bangsat. Sekalipun kita tidak semaju England tetapi pembangunan luar bandar kita ada yang mengatasi kampung-kampung di Britain.
     
Catu makanan benda biasa. Tetapi catu ubat di negara tidak berperang bagi wilayah yang kaya bahan mentah adalah satu musibah.
    
Ia adalah tanda Malaysia menuju negara muflis, barang dilindungi Allah.
     
Jika kurang bahan makanan, kita boleh puasa sehari berbuka sehari. Ada kurangkan makan dari tiga kali kepada dua kali sehari. Ibu bapa boleh makan sekali asal anak makan cukup.
  
Tetapi ubat tidak boleh dicatu. Ubat bagi tiga kali sehari tak boleh jadi sekali. Ibu bapa  tak boleh kurangkan ubat bagi cukupkan ubat pada anak.
    
Musibah buat kita ini teruknya sepuluh tahun terakhir ini. Tiap-tiap rancangan lima tahun adalah bagi memajukan negara, bukan membawa Inna  Lillah. HARAKAH DAILY


Tiada ulasan: