Ahad, 26 Mac 2017

Kementerian Kesihatan beri pampasan kes mayat tersalah serah

 
Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, perkara itu sudah dibawa ke peringkat kementerian dan pihaknya sedang berbincang mengenai jumlah pampasan yang akan dibayar kepada keluarga Fong Meng Tuck.


dr-hilmi-yahaya-fong-meng-tuck

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan akan membayar pampasan ex-gratia kepada keluarga mendiang Fong Meng Tuck, yang mayatnya sebelum ini diserah kepada keluarga lain oleh Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), November lalu.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, perkara itu sudah dibawa ke peringkat kementerian dan pihaknya sedang berbincang mengenai jumlah pampasan yang akan dibayar kepada keluarga Meng Tuck.

“Kita kesal dengan kesilapan yang berlaku dan kami mengakui kesilapan dari pihak hospital. Polis sudah buat kenyataan berhubung perkara ini bahawa (mayat) yang dikremasi itu adalah milik keluarga Fong (Meng Tuck), katanya.

“Kami terima kenyataan polis itu dan kami sedang berunding tentang pampasan ex-gratia kepada keluarga (mendiang Meng Tuck),” katanya pada sidang akhbar selepas menutup program Kembara Sihat 1Malaysia (KS1M), di sini hari ini.

Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum ini, dilapor tersalah menyerahkan mayat Meng Tuck kepada keluarga lain yang kebetulan turut menuntut mayat seorang lelaki berusia 73 tahun yang meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira 12 tengah hari, 21 Novembe lepas.

Mereka kemudian membawa pulang mayat itu dan melakukan upacara dikremasi sebelum abu mayat disimpan ahli keluarga berkenaan.

Anak lelaki Meng Tuck yang mahu menuntut mayat bapanya kira-kira 2 petang pada hari yang sama terkejut apabila dimaklumkan mayat sudah tiada di HPP.

Polis kemudian mengesahkan mayat tersalah serah itu adalah Meng Tuck selepas memperoleh hasil ujian DNA terhadap sampel darah 3 anak lelaki mendiang oleh Jabatan Kimia yang mendapati ia 99.99 peratus sepadan dengan Meng Tuck.

Ditanya mengenai dakwaan keluarga Meng Tuck bahawa pihak kementerian masih belum memberi maklum balas berhubung perkara itu, Dr Hilmi berkata, pihaknya akan menyelesaikan perkara berkenaan dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: