Selasa, 21 Mac 2017

Kadar premium tanah di K’tan masih rendah

Bernama


Kadar bagi lot getah dan kelapa sawit adalah RM1,820 dan tambahan satu peratus bagi harga pasaran kerajaan, manakala bagi lot dusun dan kelapa pula adalah RM1,092 dan tambahan satu peratus bagi harga pasaran kerajaan

KOTA BHARU: Kadar premium bagi setiap 0.4 hektar (satu ekar) tanah di Kelantan masih rendah walaupun ia dinaikkan pada 2015, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli berkata bagi tempoh 1990 hingga 2017, hanya sekali kadar premium itu dinaikkan iaitu pada dua tahun lepas.

Beliau berkata ketika ini, kadar bagi lot getah dan kelapa sawit adalah RM1,820 dan tambahan satu peratus bagi harga pasaran kerajaan, manakala bagi lot dusun dan kelapa pula adalah RM1,092 dan tambahan satu peratus bagi harga pasaran kerajaan.

“Bagi lot padi pula, kadar baharu yang ditetapkan adalah RM182 dan tambahan satu peratus bagi harga pasaran kerajaan.

“Kadar lama pula adalah sekitar RM750 bagi seekar dan Kelantan merupakan antara negeri terendah bagi kadar premium tanah di negara ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang ingin tahu berapa kali perubahan bayaran premium tanah berlaku di Kelantan sejak 1990 dan kadar yang dikenakan untuk setiap perubahan.

Menjawab soalan tambahan Mohd Adhan sama ada kadar baharu berkenaan membebankan rakyat, Mohd Amar berkata terdapat beberapa kelonggaran diberikan kepada pemilik tanah yang tidak dapat menjelaskan bayaran premium secara penuh.

Beliau berkata antaranya memberikan diskaun ataupun bayaran dilaksanakan secara beransur-ansur kepada pemohon.-Bernama

Tiada ulasan: