Jumaat, 24 Mac 2017

Kabinet lulus bentang RUU jenayah seksual kanak-kanak di Parlimen

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini meluluskan cadangan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.    
 
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata rang undang-undang itu akan dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada minggu hadapan.   
 
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana membuka jalan dan membentuk pasukan khas bagi menangani isu jenayah seksual kanak-kanak.   
 
"Rang undang-undang baharu ini memperuntukkan mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tertentu dan hukumannya sebagai tambahan dalam perundangan sedia ada.   
 
"Rang undang-undang ini penting untuk menangani kes kesalahan seksual yang semakin serius dilakukan terhadap kanak-kanak di Malaysia.    
 
"Ia juga bertujuan meningkatkan pelindungan bagi kanak-kanak daripada penjenayah seksual serta menjaga kebajikan kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan.
 
Azalina berkata, Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!! anjuran PERMATA yang berlangsung pada 13 dan 14 Mac lalu juga membuka mata ramai pihak mengenai keperluan akta itu. 
 
Najib ketika merasmikan seminar berkenaan berkata, rang undang-undang itu memerlukan sokongan semua anggota Parlimen, tanpa mengira fahaman politik untuk menangani jenayah itu.   
 
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Oktober tahun lalu menunjukkan sebanyak 12,025 kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan angka itu meningkat saban tahun.
 
 

Tiada ulasan: