Isnin, 27 Mac 2017

Jantung menantu TPM masih berdenyut dari pusat pergigian ke PPUM

Bernama

Ahli Paramedik First Ambulance Malaysia, Zuraida Zulkalnain, 27, berkata beliau membuat pemeriksaan jantung terhadap mangsa dan mendapati ada denyutan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu jantung menantu timbalan perdana menteri, Syed Alman Zain Syed Alwi yang meninggal dunia susulan menerima rawatan gigi, masih berdenyut ketika berada di Pusat Pakar Pergigian Imperial sehingga dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ahli Paramedik First Ambulance Malaysia, Zuraida Zulkalnain, 27, berkata beliau membuat pemeriksaan jantung terhadap mangsa dan mendapati ada denyutan.

“Untuk periksa denyutan jantung (mangsa), saya gunakan ‘cardiac monitor’.

Bila compress, ada link ke badan. Denyutan jantung dia memang ada, sampai ke hospital,” katanya pada perbicaraan kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) Dr Ting Teck Chin, yang didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain, menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zuraida yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan, berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Dev Kumaraendran yang mewakili Dr Ting.

Jelasnya beliau membuat pemeriksaan denyutan jantung itu di dalam ambulans, ketika dalam perjalanan dari pusat pergigian itu ke PPUM.

Terdahulu ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Izwan Ariff Ibrahim, Zuraida berkata, pada 1 Jun, iaitu hari kejadian, beliau menerima satu panggilan telefon memaklumkan terdapat seorang pesakit tidak sedarkan diri di sebuah pusat pergigian dan beliau bersama dua lagi rakan setugas bergegas ke pusat itu untuk mengambil mangsa dan membawanya ke PPUM.

Setibanya di pusat pergigian, saksi itu menjelaskan keadaan agak kelam kabut dan beliau melihat tertuduh dan beberapa jururawat cuba membantu mangsa yang dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri sedang berbaring di kerusi pesakit.

Beliau berkata ketika itu tertuduh dilihat sedang melakukan kardiopulmonari penafasan (CPR) kepada mangsa.

“Saya ambil bacaan tekanan darah (mangsa). Ada bacaan tetapi rendah. Bacaan rendah ini bermakna tidak normal, tidak stabil,” katanya yang memberitahu beliau turut memberi mangsa topeng oksigen sebelum dibawa menaiki ambulans.

Zuraida turut memberitahu terdapat dua lelaki iaitu tertuduh dan seorang lelaki Melayu dikenali sebagai Faizal meminta izin untuk masuk dan menemani tertuduh di dalam ambulans.

Kepada soalan Izwan Ariff bagaimana keadaan di dalam ambulans, Zuraida berkata Faizal ada membuat satu panggilan video dengan seorang perempuan Melayu dan perempuan itu menangis dan menjerit menyuruh pesakit itu bangun.

Terdahulu saksi itu bersetuju dengan peguam Dev Kumaraendran bahawa tertuduh sepanjang masa – ketika berada di dalam bilik rawatan di pusat pergigian, ketika membawa turun mangsa ke ambulans melalui lif dan dalam perjalanan ke PPUM, cuba membuat CPR dan membantu menyelamatkan mangsa.

Pada 12 Ogos lalu, Dr Ting, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G di Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung Ahmad Zahid, Nurulhidayah, 37, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke PPUM sebelum disahkan meninggal dunia.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor bersambung 3 Julai.

Tiada ulasan: