Selasa, 28 Mac 2017

Isu SMUE: Yeo Bee Yin akan saman Jamal

OLEH HAFIZAN TAIB

Yeo Bee Yin (2)


SHAH ALAM: Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin akan mengambil tindakan saman ke atas Jamal Md Yunos yang mendakwa dirinya menyalahgunakan peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Beliau berkata, tuduhan dibuat Ketua Bahagian Umno Sungai Besar itu jelas fitnah dan pihaknya akan mengadakan perbincangan susulan bersama peguam untuk tindakan berkenaan.

“Saya akan saman dia (Jamal) di mahkamah, ini satu tuduhan jahat dan kita tidak boleh menerima politik sedemikian.

“Kalau ada bukti, (beliau) boleh tunjukkan bukti dan kita juga tunjukkan dokumen bukti tetapi dia tidak berminat untuk menelitinya,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jamal memfitnahnya dua kali berhubung perkara itu dengan membuat laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Katanya, beliau telah hadir ke pejabat SPRM dengan segala bukti diperlukan tetapi tidak menjadi kenyataan ekoran Jamal sekadar menampilkan wakilnya.

“Sekarang saya difitnah kali ketiga (dalam sidang dewan DNS oleh Umno-BN) dan tahap politik sebegini amat rendah.

“Saya berharap Umno-BN khususnya di Selangor mempraktikkan politik lebih mulia,” katanya berhubung tuduhan dibuat ADN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus dalam sidang DNS.

Sebelum ini, tuduhan sama turut dilempar Jamal kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan ADN Sekinchan, Ng Suee Lim berkaitan isu peruntukan SMUE di bawah program Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).=EZY=

Tiada ulasan: