Jumaat, 17 Mac 2017

Isu Bai'ah PAS: Perlukah dihangatkan semula?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] ADUN Salor, Datuk Husam Musa sekali lagi membangkitkan soal bai’ah yang dilafazkan oleh pemimpin-pemimpin PAS sebelum pilihanraya umum. Bahawasanya jika mereka melompat parti selepas menang atas tiket PAS, isteri mereka dikira sudah tertalak. 
 
Husam menggariskan beberapa perkara utama mengapa isu itu diramahinya semula.
 
Pertama sekali ialah, beliau percaya PAS sendiri tidak akan berani mengheret ‘pelanggar’ bai’ah ke Mahkamah Syariah.
 
Keduanya, Husam yakin berdasarkan kajiannya, Mahkamah tidak akan memihak kepada PAS dalam isu ini, katanya dalam kenyataan medianya Ahad lalu.
 
“Talak tidak akan jatuh seperti yang menghantui pemikiran sesetengah pimpinan Pas yang galak mempolitikkan isu ini. InsyaAllah ia hanya akan memalukan Pas sendiri,” tegas Husam.
 
Beliau yakin jika tindakan itu diteruskan, ada empat orang yang akan terbabit  - Datuk Kamarudin Jaafar (Tumpat), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai),  Datuk Ibrahim Ali (bekas ahli parlimen Pasir Mas) dan beliau sendiri.
 
“Kesemua kami melafazkan bai'ah itu,” katanya.
 
Bekas Naib Presiden PAS itu berkata, perbezaan dalam kes ini ialah Datuk Ibrahim Ali bukan ahli PAS pada masa beliau diberikan izin bertanding atas lambang PAS tetapi beliau tetap diminta untuk melafazkan bai'ah itu.
 
“Selepas menang, beliau bertindak menjadi Ahli Parlimen Bebas. Di waktu itu, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz masih aktif tetapi langsung tidak membangkitkan apa-apa tentang ta'lik talak atau pun pendapatan dari gaji beliau. Kenapa?,” soal Husam.
 
Beliau berpendapat sejak awal lagi bai'ah oleh Datuk Ibrahim Ali tidak lekat dan boleh dikuatkuasakan kerana Datuk Ibrahim tidak pernah diminta menjadi ahli PAS. 
 
“Bagaimana seseorang yang tidak ahli parti boleh dikira keluar parti pada bila-bila masa? Sementara Dr Hatta pula berkahwin di luar Kelantan. Tinggal saya dan Dato KJ,” katanya.
 
Sehubungan itu, Husam menawarkan diri untuk menjadi kes ujian terhadap keabsahan (validity) bai'ah Pas itu.
 
“Biar Mahkamah Syariah meneliti dan memutuskan kes ini berbanding pemimpin tanpa kelayakan untuk memfatwakannya,” katanya.
 
Husam mengingatkan, jika PAS gagal membawa kes berkenaan ke Mahkamah, parti itu harus meminta maaf kepada beliau.
 
“Tujuan saya bangkitkan isu bai'ah berkait Datuk Ibrahim Ali, untuk membuka mata orang PAS, tidak jatuhnya talak dengan bai'ah PAS itu,” katanya.
 
Husam berhujah, hakikat Allahyarham Tok Guru Nik Aziz tidak membangkitkan isu berkenaan secara terbuka atau tertutup adalah dalil bahawa tidak gugur talak terhadap isteri mereka yang berbai’ah.
 
“Malang(nya), pemimpin kecil yang datang kemudian berlagak tahu segala-galanya. Isu bai'ah yang dibesarkan, menunjukkan PAS tidak mempunyai idea konstruktif selain isu-isu tidak produktif seperti ini,” kata Husam.
 
Reaksi PAS terhadap cabaran Husam agak pantas. Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad menyatakan PAS tidak ada masa mahu melayan cabaran Husam itu.
 
Katanya, PAS mempunyai agenda lebih penting, termasuk membuat persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 daripada melayan 'permintaan' tidak munasabah daripada Husam Musa itu. 
 
Idris menyifatkan isu yang ditimbulkan Husam itu adalah kerja yang tidak berbaloi untuk dibincangkan dalam mesyuarat PAS Pusat.
 
"Kita tidak pernah bincang bab (isu) itu…tidak bincang. Tidak peduli pun kerana dia bukan lagi ahli kita (malah beliau) nak jatuhkan PAS di Kelantan. Banyak lagi agenda besar, seperti (persediaan menjelang) PRU-14," katanya.
 
Reaksi Idris itu mungkin membayangkan pendirian PAS kini ialah ia menganggap soal bai’ah sebenarnya adalah urusan munajat di antara Allah dan orang yang melafazkan akujanji itu seperti ditegaskan al Quran.
 
“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpahmu itu sesudah meneguhkannya sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (Ayat 91 surah Annahl).
 
Ketika melafazkan bai’ahnya tidak akan belot atau melompat parti setelah menang, bukankah perbuatan itu meletakkan Allah sebagai saksi dengan penalti jika ingkar akujanji, mereka rela isteri masing-masing tertalak? Demikian lafaz mereka.
 
Yang pastinya majlis bai’ah bukanlah terbuka pada awam. Memang sewajarnya demikian. Yang wajib hadir ialah Allah sebagai saksi bahawa si fulan yang berbai’ah itu mahu mengukuhkan iman dan menjernihkan niat dalam perjuangan berparti
 
Semangat bai’ah ialah, jika lompat parti, penalti akan dikenakan. Hukumannya ialah, isteri masing-masing akan tertalak. Bagaimanapun mereka berdua atau mungkin berempat melompat parti juga. Apakah tindakan itu tidak meremehkan kesaksian Allah sendiri?
 
Isu ini jika diperdebat dan dibicarakan lebih lanjut akan mengundang kekesalan dan keingkaran lebih besar. Sebab itu, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz tidak mahu memperbesarkannya. Pada asasnya ialah, itu munajat sang pembai’ah dengan Allah.
 
Ini selaras dengan nasihat Rasulullah s.a.w. kepada beberapa kes penzina  insaf akan maksiat mereka. Mereka dinasihati supaya bertaubat. Memang demikian sifat dan cara Islam – usah perbesarkan perbuatan dosa. Pintu taubat Allah sentiasa terbuka. Allah Maha Pengampun. 
 
Dilihat dari perspektif ini, siapakah sebenarnya “pemimpin kecil yang datang kemudian berlagak tahu segala-galanya? Benarkah pemimpin sebegini tidak mempunyai idea konstruktif selain bergelumang dengan isu-isu tidak produktif?
 
Atau, adakah bagi Husam beliau perlu mengungkit lagi isu ini “demi menyedarkan ahli-ahli PAS bahawa isu bai’ah bukan perkara produktif? Atau, ia adalah kesempatan untuk terus berada dalam radar politik? Berpada-padalah berpolitik.
 
 

Tiada ulasan: