Ahad, 19 Mac 2017

Felda gagal umum keuntungan setiap tahun

 Shawaliah Hadir

Anwar Ibrahim dalam perutusannya berkata peneroka sepatutnya diberikan hak untuk mengetahui maklumat tersebut sebagai penyumbang utama Felda

SHAH ALAM: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak mengumumkan keuntungan kepada peneroka, kata Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Katanya hak peneroka sebagai generasi pertama yang menumbangkan tenaga kepada Felda diabaikan hanya untuk mengambil kesempatan terhadap keuntungan yang diraih.

“Maklumat sebenar tentang keuntungan Felda setiap tahun tidak dihebahkan kepada peneroka. Yang diamalkan adalah kaedah usang mengugut dan menakutkan peneroka.

“Adalah hak peneroka dan keluarga mereka untuk dilayani dan diberikan hak yang setimpal dengan pengorbanan. Janganlah melayani mereka sebagai laskar upahan atau pekerja.

“Hentikan amalan boros, pelaburan sia-sia dan merompak harta peneroka. Keuntungan harus dinikmati bersama oleh keluarga Felda dan bukannya orang atasan atau tokoh politik pilihan penguasa,” katanya menerusi perutusan.

Perutusannya mengenai Felda dibacakan oleh isterinya yang juga Presiden parti itu Dr Wan Azizah Wan Ismail di Konvensyen Warga Felda: Kelangsungan Felda Melalui pengupayaan dan Pendidikan di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah hari ini.

Tambah Anwar lagi, walaupun dalam Bajet tahun ini Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan peruntukan RM732 juta untuk meningkatkan taraf bekalan air Felda namun hakikatnya prasarana asas masih gagal dilengkapkan.

“Rakan-rakan kita perlu maklum bahawa prasarana asas di Felda belum diurus dengan memuaskan.

Walhal jumlah tersebut adalah sama dengan jumlah keuntungan yang dicatat oleh Felda dalam tahun 1981 (RM702.2 juta menurut laporan Felda tahun itu),” jelasnya.

Tiada ulasan: