Selasa, 14 Mac 2017

DAP Sasar Penyokong UMNO, PAS Berpaling Tadah

 
 


KUALA LUMPUR – Salah satu strategi DAP untuk memastikan parti itu dapat merampas pemerintahan negara ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan memastikan ramai ahli UMNO dan PAS berpaling tadah.


Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, jika strategi itu berjaya maka DAP akan turut dapat menamatkan pemerintahan 60 tahun parti terbesar kaum Melayu UMNO di negara ini.

“DAP perlu mencapai lebih 3.5 juta ahli UMNO dan lebih sejuta ahli PAS untuk memastikan kemenangan dalam PRU14. DAP juga perlu mendapatkan sokongan majoriti rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata, beliau percaya kaum Melayu zaman ini tidak lagi percaya bahawa DAP adalah parti anti-Islam dan anti-Melayu yang akan mengurangkan kuasa politik bangsa itu.

DAP sejak tahun ini mendapat bantuan politik oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui kerjasama DAP dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

DAP dan sekutunya dalam Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan PPBM.

Mahathir menubuhkan PPBM kerana berdendam dengan UMNO apabila beberapa kepentingan peribadinya tidak dipenuhi kerajaan. – Mynewshub.cc

Tiada ulasan: