Jumaat, 31 Mac 2017

Cubaan sogok Sultan Johor, negeri lain bagaimana, soal Amanah

 
Salahuddin Ayub berkata persoalan itu timbul kerana ramai bergelar Tan Sri dan Datuk kini dihadapkan atas pelbagai kesalahan jenayah


Salahuddin-Ayub_sprms_600


PETALING JAYA: Amanah hari ini menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sama ada terdapat cubaan untuk merasuah pihak istana di negeri selain Johor dalam soal pengurniaan gelaran kebesaran.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata demikian selepas seorang bergelar Tan Sri direman hari ini bagi menyiasat kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mendakwa pernah ditawarkan RM2 juta untuk mengurniakan darjah kebesaran Johor kepada orang tertentu.

“Tidak adakah aduan yang sama terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba merasuah raja-raja Melayu yang lain termasuk tuan-tuan yang terutama untuk mendapatkan gelaran darjah kebesaran?” soalnya.

Mahkamah hari ini membenarkan permohonan SPRM menahan reman seorang ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah Sultan Johor berhubung penganugerahan darjah kebesaran.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim mendedahkan pernah didatangi seorang “ejen” dengan tawaran RM2 juta untuk darjah kebesaran, namun ditolak kerana pihak istana negeri Johor mempunyai peraturan ketat mengenai penganugerahan darjah kebesaran.

“Nak bagi saya RM2 juta untuk satu Tan Sri. Saya kata pada ejen… saya tak nak bagi namakan nanti dia malu… saya kata pergi berambus. Itu bukan periuk nasi saya jual darjah,” katanya dalam wawancara diterbitkan Berita Harian pada Mac 22.

Malam semalam, seorang lelaki berpangkat Tan Sri menyerah diri kepada SPRM.

Mengulas lanjut kepada FMT, Salahuddin berkata kes itu menimbulkan soalan sama ada amalan rasuah pernah berlaku di masa lampau dalam penganugerahan darjah kebesaran.

Beliau merujuk siri pendakwaan individu berpangkat Datuk dan Tan Sri atas pelbagai jenayah sejak kebelakangan ini.

“Jadi saya ingin tahu sama ada pendedahan baru-baru ini mengenai seseorang yang cuba merasuah Sultan Johor boleh memberi pencerahan mengenai bagaimana mereka ini menerima gelaran,” katanya.

Tiada ulasan: