Isnin, 27 Mac 2017

Buktikan saya ada RM1b, Mukhriz heret anak tiri Najib

MALAYSIAKINI



Bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencabar bekas pegawai khasnya Haris Che Mat untuk membuktikan beliau mempunyai RM1 bilion di luar senarai yang pernah diisytiharkan.

"Apabila menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri pada tahun 2009, dan kemudiannya dilantik menjadi menteri besar pada tahun 2013, saya telah mengisytiharkan harta dan liabiliti kepada perdana menteri.

"Tentunya PM masih ada senarai tersebut dan saya cabar Haris untuk membuktikan saya mempunyai RM1 bilion di luar senarai yang telah diisytiharkan itu," kata beliau yang juga ADUN Ayer Hitam dalam kenyataannya.

Mukhriz yang juga timbalan presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) sebelum ini menyahut cabaran daripada Haris untuk berdebat secara terbuka atas dakwaan kekayaannya.

Mukhriz mencadangkan debat itu diadakan pada 29 Mac dan dilakukan tanpa syarat selepas Haris mencabar beliau untuk berdebat bagi menjelaskan keupayaannya menjadi jutawan dalam masa singkat.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, jika Haris berjaya membuktikannya, beliau akan menyumbang sejumlah RM500 juta untuk pembangunan sekitar Jerlun manakala RM500 juta lagi untuk Pokok Sena.

"Jika Haris gagal membuktikannya, beliau pula yang perlu menyumbang jumlah yang sama kepada
pembangunan di Jerlun dan Pokok Sena," jelasnya.

Pada masa yang sama, Mukhriz turut mencabar Haris untuk menerangkan mengenai kekayaan anak tiri Datuk Seri Najib Razak - Riza Aziz yang mampu membiayai pembikinan filem Wolf of Wall Street.

" Saya juga mencabar Haris untuk menerangkan kepada rakyat bagaimana Riza mendapat kekayaan untuk membikin filem lucah Wolf of Wall Street yang memakan belanja AS$100 juta dan membayar hutang judi AS$13 juta di pusat perjudian Las Vegas.

"Semoga Haris segera sihat dari sakit misteri yang muncul secara tiba-tiba kebelakangan ini. Bila hendak jawab soalan yang saya kemukakan sebelum ini," tanya Mukhriz.


Tiada ulasan: