Jumaat, 31 Mac 2017

BN gagal sedia pelan untuk generasi muda

Berita Daily Staff

Saranan sewa rumah untuk satu jangka masa sebelum membeli hartanah hanya untuk sembunyikan kelemahan pentadbiran dan selesaikan lonjakan harga rumah

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) didakwa gagal menyediakan pelan bagi membantu generasi muda untuk menampung kos sara hidup.

Kata Ahli Parlimen Kapar G Manivannan rakyat tidak mampu memiliki rumah yang ditawarkan pada hari ini berpunca daripada kegagalan mengawal lonjakan nilai hartanah.

“Jika seseorang tidak mampu membeli sesebuah rumah, ianya kerana bergantung kepada nilai harga rumah yang begitu tinggi dan ketidakmampuan untuk membelinya.

“Inilah antara faktor – faktor menjurus kepada kegagalan kerajaan Umno BN untuk menyediakan satu pelan atau model bagi membantu golongan muda @ mahasiswa untuk melalui kehidupan yang sewajarnya tanpa tekanan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani agar generasi muda menyewa rumah sebelum membuat keputusan untuk membeli hartanah bagi mengelakkan hutang dalam jangka masa yang panjang.

Beliau turut memberi contoh negara luar iaitu United Kingdom (UK) yang menggunakan pendekatan menyewa untuk satu tempoh masa yang panjang sehingga mempunyai wang simpanan untuk memiliki aset sendiri tanpa perlu bergantung dengan pinjaman semata-mata.

Mengulas lanjut, Manivannan menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan II itu sebagai bukti bahawa pemimpin parti itu hanya bertindak mengikut kepentingan dan kelemahan sendiri.

“Perbandingan dengan negara UK sepertimana dikatakan oleh Johari Abdul Ghani menunjukkan sikap terpilih, di mana kerajaan Umno BN menjawab mengikut keselesaan dan kepentingan mereka sahaja.

“Semakin banyak alasan diberikan, semakin banyak yang akan terbongkar. Saya tersenyum, mengingati peribahasa Melayu ‘bagai kelip-kelip terbang malam” ujarnya.

Tiada ulasan: