Selasa, 14 Mac 2017

Berita viral kini boleh disahkan menerusi portal

 
Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata portal sebenarnya.my dibangunkan SKMM membolehkan orang ramai memastikan sesuatu berita itu sah atau palsu.


Salleh-Keruak_mcmc_sebenarny_60


CYBERJAYA: Portal sebenarnya.my dilancarkan hari ini bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan berita yang menular di laman sosial.

Dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, portal yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) itu merupakan antara usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang benar-benar sahih.

Berucap pada majlis itu, Salleh berkata maklumat yang berkaitan akan dikumpul, dianalisa, disahkan dan dimuat naik dalam portal itu untuk rujukan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Katanya, SKMM sehingga kini mengenal pasti hampir 1,000 berita palsu yang mempunyai kepentingan awam menular di dalam negara.

“Berita palsu, bukan saja mengelirukan, malah boleh mengancam keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara.

“Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi berlaku di Amerika Syarikat, Indonesia dan negara Eropah,” katanya.

Salleh berkata rata-rata pengguna di Malaysia memperuntukkan kira-kira 3 jam dalam seharian melayari Internet dan kajian itu turut mendapati antara aktiviti itu adalah mendapatkan maklumat, berita dan informasi.

Menegaskan portal berkenaan membawa mesej utama “Tidak Pasti, Jangan Kongsi”, Salleh berkata : “Jangan baca dan menerima sesuatu berita bulat-bulat tanpa ada kesahihan.”

Beliau berkata menerusi portal itu, kerajaan mahu mendidik rakyat agar jangan bulat-bulat menerima tanpa melihat kesahihan sesuatu berita.

“Kita tidak mahu orang ramai berkongsi sesuatu berita dengan menggunakan alasan mendapat berita itu dari ‘group sebelah’ dan mohon pencerahan,” katanya.

Salleh dalam pada itu menegaskan usaha membendung penularan berita palsu tanggungjawab bersama kerajaan dan rakyat.

Katanya, kerajaan menggembleng pelbagai program dan kempen seperti “Klik dengan bijak”, “Semak sebelum Sebar” untuk memastikan penularan berita palsu dibendung secara efisien.

“Kementerian dan SKMM turut melihat program kesedaran ini perlu disertakan dengan inisiatif bagi mengupayakan rakyat untuk menyemak dan melaporkan sebarang berita yang tidak ditentusahkan, yang mereka terima,” katanya.

Salleh berkata portal berkenaan bukan bertujuan untuk Pilihan Raya Umum-14 atau menyekat hak bersuara mana-mana pihak.

“Sebenar.my bukan sekadar berita politik tetapi semua jenis maklumat boleh disemak dan dikongsi untuk berita yang tidak ditentusahkan yang mereka terima menerusi media sosial, blog dan lain-lain.

“Portal ini bukan kerana pilihan raya atau tidak sama sekali milik kerajaan semata-mata. Portal ini untuk rakyat. Pembangkang juga boleh menggunakan portal ini untuk mendapatkan kesahihan berita,” katanya.

Salleh berkata pihaknya akan mempromosikan portal berkenaan ke seluruh negara supaya rakyat dapat mengakses teknologi ini.

Tiada ulasan: