Rabu, 15 Mac 2017

Apa alasan tak mahu sokong pindaan Akta 355, soal PAS kepada MP Islam

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen beragama Islam, yang mempunyai tanggungjawab untuk menyokong usaha memperkasakan mahkamah syariah, perlu memberi penjelasan kepada umat Islam jika masih enggan menyokong usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menafikan beliau bersetuju dengan cadangan pindaan Akta 355 itu.  
 
"Saya tak boleh komen banyak kalau ada ahli Parlimen Islam, tak kira la Tan Sri Muhyiddin dan sebagainya yang tak mahu sokong. 
 
"Bagi saya yang jelas ahli Parlimen Islam yang tak nak sokong pindaan Akta 355 ini perlu beri penjelasan kepada rakyat terutama kepada umat Islam di Malaysia," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Antarabangsa Rohingya, di sini, malam tadi. 
 
Muhyiddin dalam sidang media PPBM semalam, menyangkal kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa beliau bersetuju dengan cadangan pindaan Akta 355.
 
Mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan pemimpin PAS itu tidak sepenuhnya tepat.
 
Sebaliknya menurut Muhyiddin, beliau mahu meneliti usul tersebut terlebih dahulu sebelum tampil dengan pendirian rasmi. 
 
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mempersoalkan sikap sebahagian ahli Parlimen Islam yang masih enggan menyatakan sokongan mereka sedangkan pindaan yang diusahakan PAS itu menyamai pindaan terhadap akta yang sama sebelum ini. 
 
"Kalau lihat pada tahun 1984, masa itu pindaan dibuat pada Akta 355 ini, tak ada bangkangan termasuk oleh Lim Kit Siang. 
 
"Kalau lihat dalam rekod parlimen, apabila diluluskan oleh dewan rakyat, pindaan kepada Akta 355 dibawa ke dewan negara dibentang oleh Datuk Radzi Sheikh Ahmad, disokong Datuk James Ongkili, ahli Parlimen bukan Islam dari Tuaran. 
 
"Itu yang sokong di Dewan Negara. Jadi saya tak nampak (alasan) kalau ada lagi ahli parlimen Islam sekarang ni yang tak sokong pindaan Akta 355," kata beliau. 


Tiada ulasan: