Ahad, 26 Mac 2017

44 senapang patah Rela hilang KDN tidak tolak kaitan pengganas

 
Nur Jazlan pihakya akan sentiasa memantau susulan kehilangan tersebut kerana tidak mahu senjata berkenaan jatuh ke tangan pengganas dan digunakan untuk tindakan berbahaya.


jazlan-rela


JOHOR BAHRU: Timbalan menteri dalam negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak menolak kemungkinan kehilangan 44 senapang patah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daerah Selama, Perak awal bulan ini ada kaitan dengan kumpulan pengganas.

“Pengganas di negara kita sentiasa mencari cara untuk mendapatkan senjata.

“Namun begitu, keadaannya masih lagi terkawal setakat ini kerana senjata di Malaysia dikawal oleh polis dan anggota tentera… tidak mudah untuk seseorang mendapatkan senjata api, apatah lagi jika senjata api berat,” kata beliau dipetik Bernama.

Bagaimanapun, tegas beliau, pihakya akan sentiasa memantau susulan kejadian tersebut kerana tidak mahu senjata berkenaan jatuh ke tangan pengganas dan digunakan untuk tindakan berbahaya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa sebanyak 44 senapang patah Rela daerah Selama, Perak hilang awal bulan ini.

Kehilangan itu disedari selepas Unit Penguatkuasaan Lesen Senjata Api, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah bersama Unit Penguatkuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan dan Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan Rela, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Menurut laporan itu, sebuah pasukan khas dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah telah ditubuhkan susulan kejadian.

Pasukan itu kemudian melakukan serbuan di beberapa lokasi di Perak dan Kedah sejak Rabu lepas, yang membawa kepada penangkapan 6 suspek dan rampasan beberapa senapang patah serta lebih 300 butir peluru hidup.

Sementara itu, mengulas laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada 14 Mac lepas yang mendakwa Malaysia kini menjadi ‘tempat’ untuk pihak tertentu merancang serangan pengganas berikutan dasar sempadannya yang terbuka, Nur Jazlan berkata, ia sama sekali tidak benar.

Namun begitu, beliau mengakui meskipun Malaysia mempunyai kawalan sempadan yang dianggotai anggota keselamatan daripada tentera, polis, imigresen dan unit-unit lain, ia tetap tidak dapat mengawal keselamatan di keseluruhan sempadan yang ada di dalam negara.

“Ini kerana jarak sempadan Malaysia adalah beribu kilometer dan tidak mudah untuk kita memantau dan mengawal keseluruhannya,” katanya.

Dalam laporan itu, WSJ menyebut ramai pihak bimbang kerana 2 plot berkaitan keganasan telah berlaku di Malaysia iaitu pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Februari lepas.

Satu lagi ialah rancangan militan Daesh yang mahu melancarkan serangan ke atas rombongan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang dalam lawatan rasmi ke negara ini pada penghujung bulan lepas

Tiada ulasan: