Ahad, 26 Februari 2017

NGO mana derma petrol percuma di WP, soal DAP

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Tengku Adnan melancarkan program pemberian petrol percuma di parlimen Putrajaya minggu laluTengku Adnan melancarkan program pemberian petrol percuma di parlimen Putrajaya minggu lalu

Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor mesti mengumumkan identiti badan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa menaja petrol percuma kepada penunggang motosikal anjuran Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan.
Lim Lip EngLim Lip Eng
Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng berkata, jika Tengku Adnan tidak melakukan demikian dalam tempoh 48 jam, pihaknya akan membuat laporan rasmi kepada pihak berwajib.

"Ini penting kerana para penderma yang menyokong NGO itu mempunyai hak untuk tahu kenapa sumbangan mereka telah bertukar tangan kepada BN tanpa sebarang balasan.

"Ahli-ahli NGO itu juga berhak untuk tahu kenapa jawatankuasa pertubuhan yang dimaksudkan sudah tidak ada upaya lain untuk menggunakan dana yang ada, selain untuk diberikan secara percuma kepada BN.

"Malah, rakyat juga berhak tahu siapakah NGO yang begitu baik hati sehingga enggan dikenali setelah menderma kepada BN, meskipun usaha mereka tidak melibatkan sebarang unsur rasuah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau khuatir kemungkinan ada mana-mana tanah atau kontrak kerajaan yang telah diberikan kepada NGO tersebut sebagai balasan kepada tajaan tersebut dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu tampil dan memperjelaskan keadaan tentang ‘derma’ oleh NGO yang didakwa diberi tanpa syarat ini.

"Menteri ‘Integriti’ Datuk Paul Low pula mesti menjelaskan kepada orang ramai sama ada ‘derma’ oleh NGO kepada parti politik ala derma RM2.6 bilion oleh orang Arab kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah sejenis ‘derma’ yang boleh terima dan wajar diberi galakan.

"Sebenarnya tidak ada sesiapa yang akan percaya bahawa program petrol percuma oleh Pemuda BN Wilayah Persekutuan itu ditaja NGO tanpa sebarang balasan, seperti yang didakwa oleh Ku Nan. Ini kerana beliau tidak berani untuk mendedahkan apakah nama NGO terbabit," katanya.

Lim juga berkata, jika benar-benar tiada apa yang mahu disembunyikan, NGO terbabit boleh sahaja menaja petrol percuma tanpa melalui Umno-BN.

"Ku Nan boleh sahaja mendedahkan identiti NGO terbabit, dan kumpulan tersebut boleh tampil di program pertrol percuma bersama-sama pemimpin BN di stesyen petrol sekiranya acara kebajikan ini benar-benar berunsur ‘nothing to hide’.

"NGO ini patut mengagihkan petrol percuma di acara mereka sendiri. Kenapa perlu menggunakan saluran Barisan Nasional? Pastinya ada perkara yang tidak kena sedang berlaku," katanya.

Semalam, Tengku Adnan menafikan program tersbut menggunakan dana kerajaan dan menyelar ahli pembangkang khususnya dari DAP yang mempertikai program tersbut.

Kelmarin, Bernama melaporkan Pemuda Barisan Nasional Wilayah Persekutuan akan memberi bantuan petrol percuma kepada penunggang motosikal di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya setiap awal bulan bermula April ini.

Tiada ulasan: