Selasa, 28 Februari 2017

MB: Baru sebulan sudah 40,000 daftar Skim Peduli Sihat

OLEH AFIX REDZUAN

peduli-sihat

KAJANG: Skim Peduli Sihat berjaya mendaftarkan hampir 40,000 orang ahli selepas  sebulan dilancarkan sejak 24 Januari lalu.

Prestasi menggalakkan ini menyaksikan pencapaian hampir 80 peratus pendaftaran bagi tiga bulan pertama disebalik sasaran 50,000 ahli berdaftar bagi suku tahun pertama 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sokongan yang ditonjolkan rakyat terhadap skim ini membuktikan selama ini mereka menantikan satu skim kesihatan berkualiti.

“Fakta ini membuktikan bahawa rakyat telah sekian lama menanti untuk mendapatkan rawatan berkualiti seperti ini.

“Dalam tempoh sama lebih 100 ahli aktif Peduli Sihat telah mengunjungi doktor setiap hari dan mendapatkan rawatan kesihatan asas percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Menyemarak Inisiatif Peludi Rakyat, Skim Peduli Sihat dan Peduli Siswa bagi Daerah Hulu Langat di Stadium Kajang.

Kerajaan Selangor mensasarkan pendaftaran satu juta rakyat bagi skim pelindungan kesihatan asas dengan peruntukkan RM125 juta bagi tahun 2017.

Jumlah itu dianggarkan daripada 250,000 keluarga dalam kumpulan B40 yang terdiri daripada empat orang ahli keluarga dengan pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,500 sebulan.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin menegaskan nasib pelajar di Selangor terus dibela menerusi inisiatif Peduli Siswa.

“Saya ingin menegaskan bahawa inisiatif Peduli Rakyat adalah teras utama pembangunan Negeri Selangor.
“Pembangunan berkualiti adalah teras peduli rakyat. Pembangunan tidak peduli rakyat adalah pembangunan yang tempang.

“Kita perlu menggembleng tenaga dan sumber untuk sama-sama Membangun Bangsa Memakmur Negeri,” katanya.

Peduli Siswa merupakan satu pinjaman boleh ubah tanpa faedah yang diperkenalkan Kerajaan Negeri kepada anak Selangor yang mengikuti kursus di peringkat diploma dan ijazah sarjana dengan peruntukkan RM10 juta.

Tawaran diberikan kepada pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Selangor.

Keutamaan diberikan kepada pelajar yang mendapat pembiayaan separa daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain daripada penuntut universiti awam, penuntut swasta juga berpeluang untuk memohon.=EZY=

Tiada ulasan: