Jumaat, 24 Februari 2017

KEADILAN: Persiapan jentera PRU di Selangor terbaik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PKR


SHAH ALAM- Persiapan jentera akar umbi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berjalan lancar dengan mengikut jadual ditetapkan.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, berkata selain itu, KEADILAN turut memastikan supaya semua parti yang menguasai Kerajaan Negeri mengekalkan kerjasama sedia ada bagi menewaskan Barisan Nasional (BN).

“Persiapan jentera akar umbi bergerak lancar dengan mengikut jadual dan persediaan di Selangor merupakan antara yang terbaik di seluruh negara.

“Dalam PRU akan datang bukan sahaja kita bangkitkan isu kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, kita juga berjaya menunjukkan kita ada alternatif yang mampu melaksanakan agenda perubahan negara.

 “Pengundi di Selangor telah menyaksikan bagaimana kita melaksanakan program ini untuk rakyat,” kata Tian Chua ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kelebihan di Selangor turut dibantu dengan kesedaran pengundi di Selangor yang paling tinggi berbanding pengundi di negeri lain.

Katanya, kebangkitan pengundi di Selangor harus digunakan parti pembangkang di seluruh negara sebagai inspirasi untuk mendorong pengundi lain bangkit melakukan perubahan seperti dinikmati rakyat Selangor.

“Ini bukan sahaja sekadar impian yang diharapkan semata-mata tetapi kita sudah dapat menyaksikan bagaimana pelaksanaan ini dijalankan di Selangor,” katanya lagi.

Ketika mengulas isu kemungkinan BN membubarkan Dewan Negeri Sabah terlebih dahulu, Tian Chua memberitahu KEADILAN tidak mengambil mudah perkara itu dan sudah mula melakukan persediaan awal di negeri itu.=EZY=

Tiada ulasan: