Khamis, 23 Februari 2017

Jamal akui tidak jelas hak penggunaan van jenazah


Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengakui beliau tidak jelas dengan hak menggunakan kemudahan masjid termasuklah kenderaan jenazah.

Bagaimanapun, Jamal yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar berkata, beliau menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta berjanji perkara sama tidak berulang.

"Saya menjunjung kasih pada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atas surat yang dikeluarkan dan saya sudah baca dengan jelas tegurannya kepada pihak jawatankuasa masjid untuk pastikan van jenazah digunakan untuk kegunaan jenazah dan tidak digunakan untuk kegunaan lain termasuklah demo dan sebagainya.

"Mungkin sebelum ini perkara tersebut tidak jelas dan hari ini saya menyokong penuh titah Sultan Selangor untuk memastikan selepas ini tidak ada lagi berlakunya penyalahgunaan van jenazah, cuma saya ingin maklumkan apa yang saya lakukan sebelum ini sebagai satu simbolik kepada isu duit orang meninggal telah disalah gunakan (kerajaan negeri)," katanya.

Jamal berkata demikian semasa Wacana Sinar Harian bertajuk Politik: Perjuangan atau Populariti di Kompleks Karangkraf, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, beliau bersyukur tindakannya membawa kenderaan jenazah ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor mendapat perhatian Sultan Selangor.

"Saya yakin baginda amat prihatin tentang perkara ini dan perkara yang saya bawa ini juga telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat," katanya.

Awal hari ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan tidak berkenan kenderaan jenazah disalah gunakan dengan disewa untuk membuat demonstrasi.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, baginda bertitah kenderaan berkenaan adalah untuk membawa urusan jenazah sahaja.

“Adalah saya dengan hormatnya menyampaikan titah DYMM Sultan Selangor kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid atau Ahli majlis Jawatankuasa Kariah yang bertanggung jawab dengan kenderaan jenazah di seluruh Selangor ini, supaya menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah seliaan mereka dan memanfaatkan kenderaan jenazah untuk urusan membawa jenazah sahaja.

“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah tersebut disalah gunakan selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi atau kegunaan lain yang tidak kena mengena dengan urusan pengendalian jenazah,” katanya.

Susulan kenyataan baginda, DAP Selangor mendesak Jamal membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor.

Bendahari Pemuda DAP Selangor, Muhammad Shakir Ameer berkata, Jamal memanipulasikan masjid dengan memimjam kenderaan jenazah bagi tujuan gimik politik yang melampau sekali gus mencemarkan kemuliaan institusi masjid.

Mengulas mengenai desakan DAP itu, Jamal berkata, beliau tidak perlu berbuat demikian memandangkan namanya tidak disebut secara jelas oleh Sultan Selangor.

"Jelas dalam surat itu saya baca sendiri dan tidak ada menyebut nama saya atau individu tetapi (sultan) tujukan kepada ahli jawatankuasa masjid dan saya tidak mahu mengulas lebih apa yang telah dititahkan tuanku sultan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kepimpinan Umno hari ini menyifatkan pakatan pembangkang khususnya PKR sebagai angkuh.

Kenyataan itu dibuat oleh Exco Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan apabila Naib Ketua AMK Malaysia, Razlan Jalaluddin bertanyakan kepada Jamal sejauh manakah parti yang memperjuangkan nasib Melayu itu mahu mempergunakan golongan muda yang mendokong kepimpinan Umno-BN.

Oleh yang demikian, Shahril meminta semua rakyat Malaysia jangan terlalu cepat mengadili kepimpinan sedia ada.

"Semua pihak ada kaedah, kekuatan dan daya tarikan mereka sendiri dan dalam konteks kepelbagaian kemahiran masing-masing, kalau boleh saya minta rakyat Malaysia jangan cepat mengadili yang aku tak suka sangat dengan dia ini maka dia salah, aku tak suka sangat dengan gaya dia ini maka dia tak betul.

"Cara aku dan pemimpin aku sahaja yang betul, saya nampak itu adalah satu pemulaan bibit-bibit keangkuhan yang saya kira ketaksuban yang tidak elok diterapkan kepada rakyat di negara ini khususnya golongan muda," kata Shahril yang juga barisan panel wacana hari ini.

Malah, kenyataan itu disokong Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuaib dengan menyatakan golongan itu kini terguris dengan gelaran yang dilemparkan Razlan.

"Saya sedikit terguris dan mungkin Razlan boleh respon saya nampak keangkuhan ini sebenarnya bukan datang daripada kerajaan pusat tetapi datang dari pihak PKR, DAP yang mana seolah-olah sekiranya orang muda itu suka kepada pemimpin Umno, kalau ada Jamal ini ramai pengikut maka dia adalah 'macai' dan diperbodohkan.

"Tetapi ungkapan apa pun ia seolah-olah memperkecilkan orang yang menyokong pemimpin Umno, ini adalah satu keanggkuhan," kata Shukri.

Tegas Shukri, kenyataan Razlan itu hanya akan terpalit kepada pakatan pembangkang itu sendiri.

"Kalaulah pihak pembangkang dan PKR tidak henti-henti memperkecilkan orang yang menyokong Umno-BN seolah-olah mereka ini tidak pandai, tidak berpendidikan, saya ingat silap-silap terpalit balik kepada mereka bila rakyat dan orang muda melihat jangan cuba mengadili, jangan cuba beritahu Umno-BN tidak pandai.

"Secara rumusannya, perjuangan siapa yang akan dipilih rakyat nanti itulah medan sebenar, KPI sebenar sekiranya Umno-BN kembali berjaya seperti mana sebelum ini dan lebih besar lagi maka jelaslah jawapannya bahawa rakyat memilih perjuangan Umno-BN," kata Shukri.

Selain itu, tambah Shukri, sekiranya PAS terus enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, Umno-BN mempunyai peluang besar untuk merampas Selangor bahkan juga Pulau Pinang.

"Sekiranya PAS tidak bersama Pakatan Harapan, Umno boleh ambil semula Selangor malah bukan itu sahaja pembangkang juga akan hilang Pulau Pinang," kata Shukri ketika diminta mengulas sejauh mana peluang Umno-BN di Selangor.

Bagaimanapun, mengulas soal keangkuhan PKR itu dan tergurisnya hati penyokong Umno, Razlan berkata, pihaknya juga merasakan perkara yang sama malah turut terhiris dengan cara kepimpinan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak itu.

"Saya rasa itu juga dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno kepada anak-anak muda yang menyokong pakatan pembangkang.

"Kami ini bukan sahaja terguris hati macam Umno, kami ini juga terguris poket kami.

"Anak-anak muda hari ini bukan sahaja terguris hatinya tetapi terguris, terhiris dengan kos sara hidup yang tinggi. GST, harga minyak, kesusahan mendapat pekerjaan, pengangguran dan pelbagai lagi kesempitan hidup," tegas Razlan.


Tiada ulasan: