Rabu, 22 Februari 2017

Guan Eng mengeluh ke istana dengan kereta 'cabuk'

MALAYSIAKINI


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengeluh dengan kualiti kereta yang disewanya daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur untuk ke istana.

Keluhan di Twitter itu turut disertakan dengan tiga keping Proton Perdana hitam dalam keadaan tidak sempurna yang dimuat naik bersama.

“Semua pemilik Proton sila periksa pintu kereta anda.

“Kereta eksekutif Proton yang disewa oleh kerajaan Pulau Pinang ada masalah pintu.

"Pintu kereta rasmi JKR KL saya di bahagian penumpang belakang tidak boleh ditutup.

“Terpaksa pegang dengan tangan,” tulisnya di Twitter.

Gambar itu juga memaparkan pintu itu terpaksa diletak dengan pita pelekat buat sementara waktu bagi mengelakkan terbuka ketika perjalanan.

Dalam tweet berikutnya, Lim mengeluh kerana terpaksa hadir ke istana dengan kenderaan sebegitu.

“Harap dapat kereta JKR lebih selamat pada masa akan datang,” katanya.

Beliau dijadual hadir ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-245 di Istana Negara hari ini yang dipengerusikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Audit sebelum sewakan

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Lim menjelaskan beliau menyewa kereta itu RM200 sehari dan menggunakannya untuk perjalanan dari lapangan terbang Subang ke Istana Negara di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau boleh menyewa kereta daripada pihak swasta tetapi mahu “menyokong kerajaan pusat”.

“Ini lawak jenaka! Saya terpaksa berpaut kuat, saya takut tercampak keluar pintu,” katanya sambil mengaku “malu” masuk ke istana dengan kenderaan sebegitu.

Beliau justeru menggesa JKR mengaudit terlebih dahulu kenderaannya sebelum menyewakan kepada orang awam.

Lim bagaimanapun beliau hari ini sampai ke istana dengan selamat.

JKR juga, katanya, telah menggantikan kereta itu dengan kenderaan baru.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan JKR KL berkaitan perkara itu.

Tiada ulasan: