Jumaat, 24 Februari 2017

CDC: VX agen saraf paling poten

Berita Daily Staff

Berbanding agen saraf sarin, juga dikenali GB, VX dianggap sangat bertoksik menerusi kemasukan melalui kulit dan agak bertoksik menerusi helaan nafas

KUALA LUMPUR: Agen saraf VX yang dikesan pada muka warga Korea Utara, Kim Jong-nam yang dibunuh di Malaysia pada 13 Feb, merupakan agen saraf paling poten.

Berbanding agen saraf sarin, juga dikenali GB, VX dianggap sangat bertoksik menerusi kemasukan melalui kulit dan agak bertoksik menerusi helaan nafas.

Ini berdasarkan maklumat daripada laman sesawang Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), satu daripada komponen operasi utama Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat.

“Tahap keracunan disebabkan oleh VX bergantung kepada amaun VX yang didedahkan ke atas seseorang, cara pendedahan dan tempoh dia terdedah,” kata CDC.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar hari ini mendedahkan penemuan VX susulan analisis awal terhadap calitan-calitan kering mukus mata serta muka yang diambil sebagai sebahagian siasatan polis berhubung pembunuhan itu.

Khalid berkata kehadiran bahan itu, sejenis senjata kimia, dinyatakan dalam laporan awal yang diterima polis daripada Jabatan Kimia.

CDC berkata sebarang cecair VX yang terkena kulit boleh membawa maut melainkan ia dibasuh pada kadar segera.

“Semua agen saraf mencetuskan kesan toksik dengan menghalang satu enzim yang berperanan sebagai ‘suis pemutus’ tubuh bagi kelenjar dan otot-otot, berfungsi dengan sepatutnya.

“Tanpa ‘suis pemutus’, kelenjar dan otot-otot akan sentiasa dirangsang dan mengalami keletihan serta tidak lagi mampu meneruskan fungsi pernafasan,” kata CDC.

VX boleh bertahan pada objek yang mengenainya selama berhari-hari. Dalam cuaca yang sangat sejuk pula, VX boleh bertahan berbulan-bulan.

“Disebabkan bahan ini menyejat pada kadar sangat perlahan, VX boleh menjadi ancaman jangka panjang dan jangka pendek. Justeru, permukaan yang dicemari VX harus dianggap sebagai bahaya jangka panjang,” kata pusat itu.

Pada 13 Feb, Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (Klia2) untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dia dihampiri dua wanita dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu serta digegaskan ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia dalam perjalanan.

Beliau tiba di Malaysia pada 6 Feb dan memegang pasport tertera nama Kim Chol.–Bernama

Tiada ulasan: