Jumaat, 24 Februari 2017

Apa pencapaian Salahuddin tiga penggal jadi Ketua Pemuda PAS? soal Nasruddin

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
 Post Pic

 
SHAH ALAM: Salahuddin Ayub menjadi Ketua Pemuda PAS selama tiga penggal (enam tahun), namun beliau tidak pernah mampu menghimpunkan ahli parti seramai Himpunan RUU355, Sabtu lalu.
 
Itu reaksi Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan, selepas ditanya keyakinan Timbalan Presiden Amanah itu, bahawa beliau mampu membawa lebih ramai ahli turun ke Padang Merbok, jika dirinya memegang jawatan Ketua Pemuda PAS.
 
"Bukan jika dia (Salahuddin) jadi ketua pemuda. Tetapi dia telah jadi ketua pemuda selama tiga penggal (6 tahun), apa himpunan yang dia buat lebih dari Himpunan RUU355?," ujar Nasruddin kepada Antarapos menerusi aplikasi WhatsApp.
 
Ketika Salahuddin menjadi Ketua Pemuda PAS pada tahun 2003-2009, beliau hanya terlibat dengan satu himpunan BERSIH membabitkan peserta pelbagai kaum.
 
Berbeza dengam Himpunan RUU355, majoriti hadirin yang hadir adalah terdiri daripada orang Melayu Islam.
 
Salahuddin menerusi wawancara bersama Sinar Harian berkata beliau mampu membawa lebih ramai ahli PAS untuk menyertai himpunan bagi mendesak Mahkamah Syariah diperkasakan bidang kuasanya.
 
"Kalau saya jadi Ketua Pemuda PAS, saya boleh bawa lebih daripada itu, kerana saya pernah berada di situ (jawatan itu)," ujarnya dipetik wawancaranya bersama akhbar Sinar Harian. 
 
Nasruddin juga membidas kenyataan Salahuddin bahawa, sungguhpun himpunan PAS berjaya menghimpunkan ahli yang ramai dalam skala besar, namun parti itu tetap kalah atau hanya menang beberapa kerusi dalam pilihan raya.
 
"Perlu difahami bahawa perjuangan PAS bukan terhenti diatas menang kerusi pilihan raya semata-mata. Menang dan kalah adalah suatu yang telah dijadualkan oleh Allah s.w.t. Justeru menang kalah adalah keputusan dan keputusan ialah suatu yang diputus dan dimuktamadkan oleh Allah s.w.t. 
 
"Perjuangan PAS ialah berjuang dan berusaha untuk mewujudkan dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai hidup Islam dan hukum hakam yang menuju keredhaan Allah s.w.t," ujar Nasruddin lagi.
 
Nasruddin berkata realiti yang ditakuti seteru politik PAS adalah perjuangan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu semakin mendapat sambutan. 
 
Ujarnya, anak muda semakin mendekati PAS dan perkara itu boleh dilihat pada himpunan 18 Februari lalu, yang menyaksi ramai yang hadir terdiri daripada golongan anak-anak muda. 
 
"Mereka pastinya tertarik dengan prinsip teguh yang dipertahankan oleh PAS. Ianya mula dihormati kawan  dan disegani lawan.
 
"Harga dan nilai perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS bukan hanya dinilai dengan kerusi tetapi lebih dari itu. Selain daripada kerusi di Parlimen dan DUN, kami juga memburu kerusi di syurga Allah s.w.t dengan berusaha mendapatkan redha Allah s.w.t," katanya lagi.
 
Penganjur Himpunan RUU355 mendakwa jumlah kehadiran peserta pada hari tersebut melebihi 100,000 orang.
 
 

Tiada ulasan: