Ahad, 8 Januari 2017

Terserah kepada kepimpinan parti untuk hadir atau tidak Himpunan 355 - Pemuda MIC

Oleh Azizul Osman
Post Pic
SHAH ALAM: Sayap Pemuda MIC membayangkan partinya tidak akan menyertai Himpunan 355 anjuran PAS pada 18 Februari ini. 
Menurut ketuanya C Sivaraj, Pemuda MIC akan akur dengan segala keputusan mengenai sokongan terhadap pindaan itu yang akan diputuskan oleh kepimpinan parti.
"Saya (sayap Pemuda) mengikut kepimpinan MIC yang kita tidak sememangnya tidak setuju dengan pindaan tersebut. Terserah kepada kepimpinan sama ada nak hadir atau tidak. Mereka yang akan buat keputusan dan kami ikut apa keputusan yang dibuat oleh kepimpinan MIC. 
"Tapi setakat ini saya rasa kepimpinan akan membuat keputusan untuk tidak menghadiri, tapi saya tidak pasti," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Semalam Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya mempelawa kesemua parti politik termasuk DAP, Amanah serta parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk menghadiri Himpunan 355 bagi mendapatkan penerangan mengenai keperluan meminda Akta Mahkamah Syariah.
Menurut Tuan Ibrahim juga, himpunan yang dianjurkan secara bersama dengan NGO dan aktivis itu turut bertujuan 'memurnikan suasana' ekoran sikap sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan langkah PAS membawa usul pindaan terhadap Akta 355.
"Inisiatif dia (PAS) bagus sebab nak beri penerangan tentang (pindaan) akta tersebut seperti yang digalakkan tapi dari aspek pendirian (MIC), parti sudah berkata tidak begitu setuju dengan pindaan RUU355. 
"Tapi saya rasa adalah menjadi tanggungjawab mereka kerana mereka (PAS) yang bawa pindaan akta itu, jadi mereka perlu terangkan kepada semua, bukan kepada parti-parti politik tetapi juga kepada semua rakyat Malaysia apa kandungan tersebut dan kenapa ia berbeza dengan hudud," kata Sivaraj merujuk kepada kenyataan Tuan Ibrahim.
Pada 24 November lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang meminta proses huraian bagi cadangan pindaan RUU itu ditangguhkan sehingga sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang dengan alasan bagi mengelakkan kekeliruan.
Pindaan Akta 355 yang bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah itu bagi meningkatkan hukuman maksimum kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM200,000 dan 100 kali sebatan.
RUU 355 berkenaan akan dibawa ke sidang Parlimen untuk kali ketiga Mac ini selepas melalui dua kali penangguhan sebelum ini.

Tiada ulasan: