Jumaat, 6 Januari 2017

Siasatan KSU: SPRM temui dokumen, akan panggil kontraktor terlibat

 
SPRM akan memanggil kontraktor dan vendor dipercayai terlibat ketika suspek memegang jawatan KSU, sebaik sahaja semua dokumen selesai diteliti.


azam-baki2


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas dokumen disyaki mempunyai maklumat penglibatan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian kerana penyelewengan dan rasuah, hari ini.

Menurut sumber, SPRM akan memanggil kontraktor dan vendor dipercayai terlibat ketika suspek memegang jawatan tersebut, sebaik sahaja semua dokumen selesai diteliti.

“Beberapa pegawai dan kakitangan kementerian dijangka dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

“SPRM juga menyiasat penglibatan suspek dalam beberapa projek ketika memegang jawatan sama di kementerian lain sebelum dilantik sebagai KSU kementerian terbabit,” kata sumber itu.

Perkara ini disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi dan menjelaskan siasatan masih di peringkat awal.

Beliau turut memaklumkan lebih banyak dokumen berhubung siasatan itu akan dirampas.

“Setakat ini tidak ada tangkapan baru namun tidak menolak akan ada tangkapan pada masa akan datang.”

Semalam, SPRM turut menemui 8kg emas dianggarkan bernilai RM1.6 juta dan menemui peti simpanan milik suspek di beberapa bank.

Turut dirampas daripada simpanan adalah wang tunai RM1 juta termasuk AU$80,000 (RM262,431) dan menyita sebuah kenderaan Toyoto Estima milik anak suspek.

KSU itu dikatakan mempunyai lebih 10 lot tanah atas nama ahli keluarga di sekitar Lembah Klang dan difahamkan SPRM sedang membuat pengesahan serta menilai tanah-tanah terbabit.

KSU dan 2 anak lelakinya direman selama seminggu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram

Tiada ulasan: