Isnin, 30 Januari 2017

PAS nampak Kit Siang celaru

MALAYSIAKINI


Tindakan Lim Kit Siang bercadang menyaman presiden PAS ditafsir Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai bayangan bahawa veteran DAP itu kini dalam "keadaan yang bercelaru".

Kata timbalan presiden PAS itu, ia mungkin kesan daripada 'cinta tak berbalas' seperti diharapkan Lim.
“Saya tengok beliau (Lim) dalam keadaan yang bercelaru.

“Sebelum ini (Lim) hulurkan tangan mengajak PAS bekerjasama. Mungkin lepas kita tolak ajakan itu ia jadi seperti ‘cinta tidak berbalas’,” beliau dilaporkan sebagai berkata oleh Sinar Online.

Pada 22 Januari lalu Lim yang juga anggota parlimen Gelang Patah menyatakan kesediaannya - secara peribadi - untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika presiden PAS itu berkongsi komitmen dalam memerangi kleptokrasi.

Katanya, isu itu akan menjadi agenda negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dan bertanya sama ada
Abdul Hadi sanggup membuat sebarang komitmen demikian.

Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, pula menyatakan salam perdamaian dihulur Lim itu dibuat demi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal.

PAS bukan kostum opera

Kata Tan, kesediaan bekerjasama dengan Abdul Hadi bukanlah untuk membantu parti itu meluluskan pindaan Akta 355 atau menubuhkan negara Islam.

Tawaran itu disambut dingin oleh PAS.

Pada 26 Januari lalu Malaysiakini melaporkan, PAS menganggap salam damai Lim sebagai "drama opera murahan" menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata parti itu tidak akan sesekali terpedaya dengan helah tersebut kerana sudah dua kali diperlakukan sedemikian rupa.

“Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP.

“PAS tidak akan teruja dengan wayang opera bernilai murah yang sedang dipersembahkan oleh DAP hari ini.

"Cukuplah pengalaman dua kali diperlakukan DAP sedemikian rupa," katanya.

Abdul Hadi pula - ketika menegaskan pendiriannya untuk menolak kerjasama dengan DAP - berkata parti berkenaan tidak menunjukkan sokongan terhadap perjuangan Islam dibawa PAS.

Laporan News Straits Times menyatakan Abdul Hadi menganggap DAP masih bersikap "menentang Islam" dan pembentukan kerajaan Islam yang menjadi teras perjuangan PAS.

Ekoran perkembangan itu Lim berkata, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Hadi kerana mendakwa beliau sebagai anti-Islam.

"Peguam saya (telah) diarahkan untuk mempertimbangkan sama ada kiasan Hadi bahawa saya anti-Islam adalah fitnah dan menjadi penyebab bagi prosiding undang-undang," kata Lim.

Mengakui Abdul Hadi mempunyai hak menolak kerjasama dengan DAP, Lim berkata pemimpin PAS itu bagaimanapun tidak sepatutnya memutarbelitkan fakta bagi mewajarkan pendiriannya.

Tuan Ibrahim berkata beliau sering melihat kenyataan Lim membuat kenyataan berubah-ubah dan nampak seperti tidak menentu menjelang PRU14.

Beliau turut menjelaskan, cadangan pindaan Akta 355 yang diperjuangkan PAS adalah kehendak Islam, bukannya PAS, selain ia bukanlah perkara baru.

“Di sini mungkin maksud presiden PAS adalah kerana tindakan Lim Kit Siang yang menentang RUU 355,” beliau dilaporkan sebagai berkata.


Tiada ulasan: