Jumaat, 27 Januari 2017

Noh Omar perlu hentikan mainan politik murahan dalam isu beg plastik di Selangor

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Selangor tidak setuju sama sekali tentang komen yang dilemparkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu Tan Sri Noh Omar berkenaan Kempen Bebas Plastik yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Selangor yang berkuatkuasa 1 Januari 2017.

Baru-baru ini, Noh Omar telah mengkritik tindakan Kerajaan Negeri untuk mengenakan caj 20sen terhadap pengguna yang mahukan plastik. Selain itu, beliau juga turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri tidak perlu membekalkan plastik langsung di semua premis beli-belah.

Terakhirnya, beliau juga menyoalkan dimanakah pergi 20sen caj yang dikenakan itu.

AMK Negeri Selangor merasakan bahawa ada keperluan untuk memberikan respon kepada kenyataan yang dibuat oleh Noh Omar kerana kami berpendapat bahawa Noh Omar sengaja menanamkan benih negatif dalam sebuah kempen yang penuh dengan nilai-nilai positif.

Inisiatif bijak dan mesra alam ini diambil oleh Kerajaan Negeri atas beberapa sebab penting. Yang paling mustahak adalah beg plastik merupakan penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran alam sekitar kerana hampir 1 trilion beg plastik digunakan setiap tahun di seluruh dunia.

Bag plastik mengambil masa yang sangat lama sebelum dilupuskan daripada muka bumi ini. Secara statistik, hampir 1 trilion beg plastik digunakan setiap tahun di seluruh dunia.

Bayangkan betapa besar impaknya terhadap alam sekitar sekiranya pengunaan bag plastik tidak dikawal dengan rapi.

Kerajaan Negeri mengutamakan pemeliharaan alam sekitar untuk masyarakat dan pada tahun 2017, kami mahu mengurangkan penggunaan beg plastik sebanyak yang mungkin.

Respon kepada mengapa perlu caj 20sen untuk beg plastik.

Kerajaan Negeri meletakkan denda sebanyak 20sen untuk satu plastik kerana ingin memberikan satu insentif kepada orang ramai supaya tidak lupa membawa beg sendiri ketika membeli-belah atau ‘eco bag’.

Sekiranya caj 20sen ini tidak dikenakan, orang ramai tidak merasa perlu untuk membawa beg sendiri kerana beg plastik amat mudah diperolehi dengan percuma.

Justeru itu, agenda untuk mengurangkan kegunaan beg plastik tidak mungkin akan dicapai jika caj 20sen itu tidak dikenakan sebagai satu insentif untuk tidak lupa membawa beg sendiri.

Strategi ini juga diguna pakai oleh syarikat membeli-belah dalam perkhidmatan troli dimana pengguna dicajkan sebanyak 50sen untuk menggunakan satu troli.

Antara sebabnya ialah untuk mengingatkan pengguna supaya meletakkan semula troli yang telah digunakan ke tempat asalnya dan pada masa yang sama pengguna dapat mengambil balik 50 sen tersebut.

Respon kepada cadangan Noh Omar untuk tidak menyediakan plastik langsung kepada pengguna di premis AMK Negeri Selangor memandang cadangan ini sebagai satu cadangan yang tidak masuk akal sama sekali.

Cadangan retorik sebegini tidak mengandungi prinsip kepedulian kepada rakyat. Pembeli yang tidak membawa beg sendiri ke kedai harus diberi pilihan untuk membeli beg plastik tersebut supaya pembeli boleh terus membeli-belah tanpa menghiraukan masalah pengangkutan barang-barang tersebut apabila selesai membeli.

Cadangan Noh Omar ini akan menyusahkan pembeli yang hadir di premis beli-belah tanpa membawa beg plastik kerana mereka tidak ada pilihan lain untuk mengangkut barang-barang tersebut.
Ini adalah cadangan “typical” pemimpin UMNO yang tidak faham mengenai keperluan pembeli.

Sementara itu, Kerajaan Negeri telah mempertimbangkan idea-idea rasional sebelum melancarkan kempen bebas plastik ini. Kerajaan Negeri sedar bahawa pembeli telah lama bergantung kepada beg plastik dan tidak semua barang-barang boleh dimasukan dalam beg shopping.

Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif peduli rakyat dengan mengeluarkan senarai pengecualian. Antara barang-barang yang masih boleh menggunakan beg plastic adalah:-
  • Makanan mentah – Ikan, lembu, ayam, khinzir, kambing dan produk-produk daging.
  • Makanan untuk haiwan atau kegunaan manusia – Gula-gula, pallet makanan haiwan dan makanan dalam bekas bagi mengelakkan kebocoran semasa pengendalian.
  • Biji benih yang tidak dibungkus.
  • Bunga.
  • Sayuran yang diselaputi tanah, seperti kentang, akar, halia.
  • Produk ubat-ubatan dan bahan racun bahaya.
  • Ikan hidup atau haiwan akuatik yang lain.
Respon kepada persoalan Noh Omar, dimanakah perginya caj 20sen tersebut

Caj 20sen yang dikenakan itu tidak disalurkan kepada Kerajaan Negeri sama sekali. Beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebar fitnah palsu bahawa Kerajaan Negeri akan mengambil hasil kutipan caj 20sen tersebut.

AMK Negeri Selangor ingin menjelaskan saluran wang yang dikumpul menerusi caj 20sen tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun peruncit/peniaga sama seperti semua produk-produk lain yang dibeli daripada peruncit/peniaga.

Kutipan tersebut kemudiannya akan disalurkan untuk melaksanakan program-program Corporate Social Responsibility “CSR” atau disalurkan kepada badan-badan amal bagi melaksanakan usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.

Tidak benar sama sekali bahawa Kerajaan Negeri mengaut keuntungan hasil ini daripada poket rakyat.
AMK Negeri Selangor ingin memberitahu kepada Noh Omar supaya menghentikan politik “plastik”.

Jangan sesekali menanamkam benih negatif dalam satu buah pikiran bernas Kerajaan Negeri yang cukup positif. Noh Omar harus mengaku kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu alam sekitar.

Kempen bebas plastik negeri Selangor wajib dijadikan contoh kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempelajari cara-cara untuk menyelamatkan alam sekitar.

Respon rakyat yang diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor cukup membanggakan Kerajaan Negeri.

Sebagai akhirul kalam, AMK Negeri Selangor menyokong penuh polisi mesra alam sekitar yang dilakukan di Negeri Selangor dan menyeru kepada negeri-negeri lain supaya mengikut jejak langkah Negeri Selangor.

* MUHAMMAD HARRIS IDAHAM BIN ABDUL RASHID. Ketua Biro Guaman, Angkatan Muda KEADILAN

Tiada ulasan: