Rabu, 11 Januari 2017

Mukhriz berhak saman Tunku Aziz, kata Azmin

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
AMPANG: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil pendekatan menjarakkan diri untuk mengulas pendedahan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim bersabit 'pakatan sulit', minggu lalu.
 
Beliau sebaliknya berkata, adalah hak Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, individu yang dikaitkan dalam pendedahan tersebut, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tunku Aziz.
 
"Itu hak Datuk Seri Mukhriz untuk ambil tindakan dan beliau telah nyatakan hasrat untuk ambil tindakan terhadap Tunku Aziz dan saya serahkan kepada beliau," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan di SK Hulu Klang, di sini sebentar tadi.
 
Tunku Aziz minggu lalu mendedahkan wujud pakatan sulit di antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menaikkan Mukhriz sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Dakwa Tunku Aziz juga, pakatan sulit itu turut menamakan Kit Siang sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.
 
Susulan itu, Mukhriz memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas Tunku Aziz, selain menggesa bekas pemimpin veteran DAP mendedahkan 'sumber' beliau.
 
Bagaimanapun Tunku Aziz dalam reaksinya terhadap ugutan saman itu, mengingatkan Mukhriz supaya membuat akuan bersumpah (SD) untuk menghentikan segala spekulasi. 
 
Dalam perkembangan berlainan, Azmin turut diminta mengulas hasrat Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang ingin menggantikan beliau sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
 
"Saya bukan ahli FAS.. terserah kepada FAS lah untuk membuat keputusan," katanya lagi.
 
Jamal semalam menghantar surat rasmi kepada FAS bagi menawarkan diri sebagai Presiden kelab bola itu, malah berazam untuk membawa pasukan Selangor setanding dengan Johor Darul Takzim (JDT) jika dilantik sebagai presiden.
 
Malah Jamal juga berjanji menyelesaikan segala tunggakan gaji dan elaun pemain dan jurulatih akan diselesaikan dalam tempoh 14 hari.
 
Posisi itu 'kosong' selepas Azmin baru-baru ini mengumumkan peletakan jawatannya selepas dua tahun menyandang jawatan berkenaan.
 
Menurut Azmin, keputusan itu dibuat ekoran tidak berpuas hati terhadap sikap barisan Exco FAS yang masih dengan sikap dan budaya lama yang terlalu bergantung kepada pemberian subsidi.
 
 

Tiada ulasan: