Felda antara kawasan yang terjejas akibat banjir di Segamat.

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 9,487 orang yang ditempatkan di 77 pusat pemindahan berikutan pertambahan bilangan mangsa di Segamat setakat 12 tengah hari ini berbanding 8,204 orang pada 7 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata daerah Segamat kini mencatatkan 7,113 mangsa banjir daripada 2,129 keluarga, melibatkan 53 pusat pemindahan berbanding 6,609 di 50 pusat pemindahan pagi tadi.

“Daerah kedua paling teruk terjejas ialah Kota Tinggi dengan 986 mangsa dan Tangkak 830 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata daerah Kluang pula mencatatkan 213 mangsa banjir di empat pusat pemindahan, sementara masing-masing satu pusat pemindahan di Muar (167 mangsa); Mersing (111); Johor Bahru (56) dan Batu Pahat (11).

Bagaimanapun, katanya tiga pusat pemindahan telah ditutup iaitu Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru Masai dan balai raya Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru dan balai raya Felda Pasak di Kota Tinggi.

Ayub berkata menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, angin kencang kategori pertama dari arah Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sabah (Kudat dan Sandakan) sehingga Sabtu ini.

“Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut,” katanya.— BERNAMA