Jumaat, 6 Januari 2017

Kerajaan lulus RM800 juta usaha selesai masalah banjir Kelantan

ISMA WEB
 
 


KULAI – Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM800 juta dalam usaha menyelesaikan masalah banjir di Kelantan untuk tempoh masa panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga termasuk kerja mendalamkan dua sungai di negeri berkenaan.

Katanya, bagi penyelesaian jangka pendek, projek dan kajian di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dijangka dilaksanakan pada Jun tahun ini bagi menyelesaikan masalah banjir di Kelantan dan Terengganu.

“Kerajaan Pusat sedia maklum dan prihatin dengan kejadian banjir saban tahun termasuk di lembangan Sungai Golok dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), projek tebatan banjir fasa pertama bernilai RM300 juta sudah diluluskan.

“Kerajaan juga sudah meluluskan projek pengorekan muara Sungai Kelantan dan pembinaan tambak berjumlah RM500 juta di bawah RMK-11,” katanya pada sidang media selepas melawat rakannya yang juga bekas anggota komando, Abu Bakar Md Ahmad, 66, yang diserang penyakit angin ahmar di Taman Bukit Senang di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau juga mengesyorkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaksanakan penilaian kerosakan sosio-ekonomi fasa awal bagi membantu rakyat yang terkesan akibat banjir sejak akhir Disember lalu hingga minggu pertama bulan ini.

Ahmad Zahid berkata, meskipun Kelantan dipimpin oleh PAS, namun kerajaan Pusat mengambil pendekatan mengenepikan fahaman politik dan membantu rakyat di negeri itu demi kesejahteraan semua pihak.

“Bagaimanapun, saya berharap dua projek besar ini mendapat kerjasama semua termasuk kerajaan negeri kerana jika masih berlaku pembalakan berterusan akan menyebabkan hakisan dan penurunan air dan tanah di kawasan sungai, ianya tidak selesai,” katanya

Tiada ulasan: