Rabu, 11 Januari 2017

Kenapa Najib sayang sangat dengan Isa Samad?

Ustaz Idris Ahmad

 
 


Masalah di Felda bermula sejak Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjadi Pengerusi Felda pada tahun 2011.

Daripada awal lagi beliau dilantik sudah menimbulkan keresahan di kalangan penghuni Felda. Beliau yang mempunyai rekod yang tidak bersih di dalam Umno, tetapi tetap juga dilantik.

Kelam kabut dalam pengurusan Felda, walaupun mereka ini orang yang cukup setia dengan kerajaan. Cuma mereka ini seorang yang profesional ingin melihat Felda menjadi institusi untuk membela orang miskin Melayu.

Malahan antara mereka ialah bekas anak peneroka Felda yang mempunyai kelulusan dan profesional dalam bidang masing-masing.

Isu mutakhir apabila cadangan FGV memiliki 37 peratus saham PT Eagle Hight Plantations (PT EHP) anak syarikat Rajawali Group sebuah konglomerat perladangan terbesar Indonesia. Walaupun mendapat bantahan pihak pengurusan, namun kesemuanya tidak dihirau oleh Isa Samad.

Walaupun Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengganti Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, namun Isa masih kekal sebagai Pengerusi FGV.

Bolehkah Shahrir bergerak dengan bebas?

Masalah Felda ialah masalah FGV yang dipengerusi oleh Isa Samad. Kenapa Datuk Seri Najib terlalu sayang kepada Isa Samad? Apakah rahsia kekuatan Isa Samad sehingga beliau kebal di Felda?

Melantik Shahrir mungkin untuk meredakan kemarahan warga Felda yang memiliki 54 kerusi Parlimen.

Ia merupakan stok penimbal BN dalam pilihan raya. Mungkin Najib sudah dapat menghidu kemarahan warga Felda yang akan bertukar haluan kepada PAS terutamanya apabila rungutan mereka tidak didengari oleh kerajaan.

Maka Shahrir dilantik menjadi Pengerusi Felda yang baru.

Kalau ikut kepentingan dan keuntungan politik PAS, biarlah Isa Samad kekal di Felda sehingga PRU14 supaya mudah untuk mendapat sokongan peneroka di dalam pilihan raya.

Tetapi demi masa depan warga Felda bukan itu yang kita mahu. Kepentingan warga Felda seramai 2 juta dan 360,000 hektar tanah Felda mesti diselamatkan terlebih dahulu.

*Ustaz Idris Ahmad,  Naib Presiden PAS/Ahli Parlimen Bukit Gantang

Tiada ulasan: