Rabu, 11 Januari 2017

Jamal kemuka tawaran rasmi ambil alih FAS

Wartawan TMM ·


 

KELANA JAYA – Secara rasminya, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos telah menyerahkan surat permohonan sebagai presiden kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di ibu pejabat FAS hari ini.

Surat tawaran itu diterima oleh Exco FAS, Adnan Sarrif

Dengan wajah berceloreng Merah Kuning bersama penyokongnya, Jamal berikrar akan membawa Selangor setanding dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekiranya dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

“Hari ini saya bersama rakan-rakan telah pun menghantar surat niat saya untuk menjadi Presiden FAS,” kata Jamal dalam sidang media di hadapan ibu pejabat FAS.

“Hasrat kami untuk meletakkan diri sebagai Presiden FAS adalah bagi membantu kelab bola sepak Selangor setanding dengan kelab-kelab lain terutama JDT.”

Jamal turut berjanji akan menyelesaikan apa saja masalah dihadapi FAS termasuk tunggakan gaji pemain dan jurulatih.

“Dana adalah isu nombor dua, jika dilantik hari ini semalam saya selesaikan,” kata Jamal ketika ditanya berkenaan masalah tunggakan gaji berkenaan.

Pada 30 Disember lalu, Azmin meletak jawatan sebagai presiden kerana membantah budaya “politik berlebih-lebihan, melakukan kerja cara lama dan mentaliti bergantung kepada subsidi” dalam FAS.

Azmin berkata beliau tidak mahu bersama dengan organisasi dan pengurusan FAS yang “tidak berwibawa”, “tidak komited” kepada perubahan, “bergelumang dengan budaya politik tidak bertanggungjawab” dan “mengecewakan penyokong dan rakyat”.

Selain penyokong, turut hadir mengiringi Jamal ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Shohaimi Shadan dan Datuk Ahmad Azhar.

Tiada ulasan: